INTERNATIONAL
Kerajaan Thailand keluar amaran tentang sindrom 'mabuk gempa bumi'
Walaupun simptom 'mabuk' itu bersifat sementara, ia boleh kekal selama beberapa minggu dalam kes-kes tertentu, terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kegelisahan. - AP
BANGKOK: Kementerian Kesihatan Awam Thailand telah mengeluarkan garis panduan kepada individu yang mengalami simptom 'mabuk gempa bumi' selepas kejadian bencana itu baru-baru ini.
Portal berita Bangkok Post yang memetik timbalan jurucakap kerajaan, Anukul Prueksanusak melaporkan, ramai orang mengadu bahawa mereka masih berasa seperti dalam keadaan 'terhuyung-hayang' selepas tragedi itu.
Simptom itu sebenarnya dirasai mangsa kerana gangguan terhadap sistem keseimbangan tubuh.
Walaupun simptom itu bersifat sementara, ia boleh kekal selama beberapa minggu dalam kes-kes tertentu, terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kegelisahan. Kesan yang lebih teruk pula akan dialami mereka yang mempunyai masalah migrain.
Kementerian Kesihatan Awam telah membimbing saranan khusus untuk membantu mangsa menguruskan simptom berkenaan, termasuk stres.
Antara langkah yang dicadangkan adalah melatih pernafasan yang dalam dan perlahan, meminum air atau teh halia serta mengelakkan minuman beralkohol atau berkafein.
Turut disaran adalah merehatkan diri daripada melihat skrin telefon bagi merehatkan mata, lebihkan memandang objek yang jauh, berbaring, menghindari berita tentang kematian untuk mengurangkan tekanan, dan mengambil ubat mabuk pergerakan, serta banyakkan berehat.
Anukul turut menambah, pihak kerajaan sangat prihatin terhadap kesihatan masyarakat umum.
Mereka yang berasa amat tertekan dengan kejadian gempa bumi baru-baru ini dikhuatiri boleh membuatkan kualiti kehidupan mereka terjejas. Oleh itu, mereka digalakkan untuk mendapatkan nasihat perubatan, termasuk konsultasi kesihatan mental.