IOWA:Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) mengalami komplikasi perubatan apabila didapati mula mengeluarkan cairan otak (brain fluid) melalui hidungnya selepas melakukan ujian COVID-19, dedah satu laporan kes baharu.

Wanita berusia dalam lingkungan 40-an itu melakukan ujian dengan menjalani nasopharyngeal swab, yang merupakan salah satu cara biasan saringan COVID-19 diambil.

Malangnya tidak lama selepas prosedur itu, hidung wanita itu mula berair, mengalami sakit kepala, mual dan muntah.

Wanita itu berjumpa doktor selepas berasakan kepala dan lehernya tegang, dan pemeriksaan menunjukkan terdapat lubang di pangkal tengkoraknya.

Cecair yang keluar menerusi hidungnya pula adalah cecair serebrospinal, yang merupakan cecair jernih pelindung yang mengelilingi otak dan saraf tunjang.

Ini adalah kali pertama kes sedemikian dilaporkan dan ia sedikit sebanyak membimbangkan pesakit dan petugas kesihatan.

Namun begitu, dalam laporan penuh kes yang diterbitkan pada Khamis, para doktor di University of Iowa menyatakan bahawa swab berkenaan bukanlah penyebab keadaan itu.

Wanita itu disahkan menghalami mengalami skull defect  (kecacatan pada tengkorak) yang tidak didiagnosis sebelum ini, dan swab membuatkan bukaan kecil menjadi lebar sekaligus menyebabkan cairan dari otak merembes keluar.