LAGOS: Seorang pegawai di negeri Kaduna di utara Nigeria pada Selasa mengesahkan lapan penumpang terbunuh dan 26 yang lain cedera dalam serangan ke atas kereta api penumpang Kaduna-Abuja oleh sekumpulan lelaki bersenjata, lapor Xinhua.

Pesuruhjaya Keselamatan Dalaman dan Hal Ehwal Negeri Samuel Aruwan dalam mengesahkan angka itu dalam satu kenyataan, mendedahkan bahawa maklumat daripada Nigerian Railway Corporation (NRC) menunjukkan seramai 362 penumpang disahkan telah membeli tiket.

Menurut Aruwan, senarai penumpang tidak termasuk petugas NRC dan pegawai keselamatan di dalam kereta api, sambil menambah terdapat beberapa penumpang yang tidak diketahui.

Siasatan bagi mengenal pasti status penumpang masih berjalan dan belum diketahui setakat ini.

Pada malam Isnin sebuah kereta api penumpang dalam perjalanan dari Abuja menuju ke Kaduna, ibu negara Nigeria, diserang oleh lelaki bersenjata di Rijana, sebuah bandar di Kaduna. Pengganas menanam alat letupan di sepanjang landasan, dan letupan berlaku sebaik kereta api menghampirinya, menyebabkan keretapi tergelincir.

Presiden Nigeria Muhammadu Buhari pada Selasa mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman kereta api penumpang, menyifatkannya sebagai perkara yang membimbangkan.

-- BERNAMA