Skip to main content

Dunia

Kereta Api Laju Jakarta-Bandung rekod lebih 18 juta perjalanan penumpang bagi tiga tahun

Menurut data PT Kereta Cepat Indonesia China, Whoosh telah merekodkan lebih 960,000 perjalanan penumpang antarabangsa, sekali gus membantu merancakkan sektor pelancongan dan industri berkaitan. - Gambar fail
Menurut data PT Kereta Cepat Indonesia China, Whoosh telah merekodkan lebih 960,000 perjalanan penumpang antarabangsa, sekali gus membantu merancakkan sektor pelancongan dan industri berkaitan. - Gambar fail

Advertisement

JAKARTA: Kereta Api Laju Jakarta-Bandung, yang dikenali sebagai "Whoosh" merekodkan lebih 18 juta perjalanan penumpang sejak memulakan operasi komersial tiga tahun lalu, menurut China Railway International Co Ltd, lapor Xinhua.

Syarikat itu memaklumkan perkhidmatan kereta api laju pertama di Indonesia itu genap tiga tahun beroperasi dengan selamat pada Sabtu, selepas melengkapkan 58,666 perjalanan kereta api yang meliputi jarak keseluruhan lebih 8.9 juta kilometer, dengan kadar ketepatan masa mencapai 99.4 peratus.

Menurut data rasmi, kekerapan perkhidmatan harian meningkat daripada 14 perjalanan ketika awal operasi kepada sehingga 62 perjalanan, manakala jumlah penumpang tertinggi dalam sehari mencecah 26,770 orang.

Bagi memenuhi keperluan penumpang, pengendali Whoosh turut memperkenalkan pelbagai pilihan tiket dan kemudahan, termasuk harga dinamik, pembelian tiket menerusi pelbagai saluran, kad kesetiaan pelanggan serta perkhidmatan pertukaran tiket.

Sejak beroperasi, perkhidmatan itu turut merancakkan aktiviti ekonomi di sepanjang laluan Jakarta-Bandung apabila lebih banyak perniagaan dalam sektor pelancongan, makanan dan minuman serta peruncitan tertumpu di sekitar stesen, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Setakat ini, sekitar 117 peniaga beroperasi di stesen sepanjang laluan itu, termasuk 29 perusahaan mikro, kecil dan sederhana q(PMKS) yang menawarkan makanan, minuman, cenderamata serta produk kreatif berasaskan budaya tempatan.

Perkhidmatan itu juga semakin mendapat sambutan pelancong antarabangsa, dengan pengendali menambah baik kemudahan stesen, ruang komersial dan jaringan pengangkutan ke destinasi akhir.

Menurut data PT Kereta Cepat Indonesia China, Whoosh telah merekodkan lebih 960,000 perjalanan penumpang antarabangsa, sekali gus membantu merancakkan sektor pelancongan dan industri berkaitan.

Dari aspek keselamatan, pengendali menyesuaikan sistem pengurusan kereta api laju China dengan keadaan cuaca dan risiko gempa bumi di Indonesia menerusi teknologi pemantauan masa nyata serta sistem tindak balas kecemasan.

Whoosh, yang juga perkhidmatan kereta api laju pertama di Asia Tenggara, beroperasi pada kelajuan sehingga 350 kilometer sejam, sekali gus memendekkan masa perjalanan antara Jakarta dan Bandung daripada kira-kira empat jam kepada hanya 45 minit.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement