LONDON: Sebuah kereta yang dirampas meletup pada Sabtu malam di luar sebuah balai polis di Dunmurry, Ireland Utara, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, menurut polis tempatan pada Ahad lapor Xinhua.
Kereta milik seorang pemandu penghantar barang telah dirampas di barat Belfast dan sebuah peranti silinder gas diletakkan di dalam but kenderaan itu, sebelum pemandu berkenaan diarahkan untuk memandu ke Balai Polis Dunmurry dan meninggalkan kenderaan terbabit di sana, menurut kenyataan Perkhidmatan Polis Ireland Utara.
Advertisement
Peranti itu meletup, "menyebabkan kenderaan terlibat marak dijilat api dan serpihan letupan melenting ke semua arah". Penduduk tempatan telah dipindahkan dari kawasan berkenaan.
Satu siasatan cubaan membunuh yang diketuai oleh unit siasatan keganasan telah dilancarkan, menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian berkenaan.
"Peranti letupan ini dihantar untuk membunuh pegawai dan menyebabkan kemudaratan maksimum dalam serangan di tengah-tengah kawasan perumahan," kata Pengerusi Lembaga Polis Ireland Utara Brendan Mullan pada Ahad.
Ini merupakan insiden kedua yang melibatkan balai polis dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pada 30 Mac, dua lelaki bertopeng merampas sebuah kereta di Lurgan, barat daya Belfast, dan meletakkan peranti letupan di dalam but kenderaan itu, menurut polis tempatan.
Pemandu terbabit diarahkan memandu ke Balai Polis Lurgan dan dia berjaya melarikan diri, manakala pegawai teknikal peluru menjalankan letupan terkawal terhadap "peranti letupan reka ganti yang ringkas namun boleh berfungsi" itu.
Polis tempatan percaya bahawa "kemungkinan besar kumpulan penentang Republikan bertanggungjawab" atas insiden di Lurgan itu.
-- BERNAMA-XINHUA