awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
AAX belum muktamad menamakan semula syarikat kepada AirAsia pada 19 Jan
Apple: Creator Studio tidak akan guna data pengguna untuk latih AI
Capital A jual 17 juta saham AirAsia X bernilai RM28.05 juta
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Kerjasama ASEAN-China perkukuh keamanan, kemakmuran serantau - Kao Kim Hourn

Bernama
Bernama
14/01/2026
20:00 MYT
Kerjasama ASEAN-China perkukuh keamanan, kemakmuran serantau -  Kao Kim Hourn
Kao menegaskan bahawa ASEAN dan China merupakan rakan dagang yang penting bagi satu sama lain, dengan perdagangan dua hala yang terus berkembang. - Foto fail/BERNAMA
JAKARTA: Walaupun berdepan persekitaran global yang kompleks dan sentiasa berubah sepanjang tahun lalu, ASEAN dan China terus mengekalkan momentum kerjasama yang teguh dalam bidang ekonomi, tenaga, digital serta hubungan antara rakyat, yang menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, kata Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn dalam temu bual eksklusif bersama Xinhua.

Ringkasan AI
  • ASEAN dan China mengekalkan kerjasama dalam bidang ekonomi, tenaga, digital, dan hubungan antara rakyat, memberi sumbangan kepada keamanan, kestabilan, dan kemakmuran serantau.
  • Kedua-dua pihak melaksanakan inisiatif kerjasama yang sedia ada termasuk Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 untuk memperluaskan kerjasama ekonomi.
  • Pelaburan China dalam sektor tenaga ASEAN, terutamanya dalam tenaga boleh baharu dan pengeluaran kenderaan elektrik, telah meningkat, memberi impak besar kepada kerjasama ekonomi dua hala.

Menurut Kao, ASEAN dan China telah mengekalkan momentum positif di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif.
Kedua-dua pihak terus melaksanakan inisiatif kerjasama sedia ada dan telah menerima pakai Pelan Tindakan bagi Melaksanakan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China (2026-2030), yang akan berfungsi sebagai kerangka panduan bagi kerjasama dua hala dalam tahun-tahun mendatang.
Satu pencapaian utama, katanya, adalah kejayaan menandatangani Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China 3.0, yang menurut beliau bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan kerja keras daripada kedua-dua pihak. "Kami mencapai satu lagi tahap kerjasama, terutamanya dalam kerjasama ekonomi."
Kao menekankan bahawa FTA ASEAN-China yang dinaik taraf itu akan memberi impak yang meluas terhadap kerjasama ekonomi dua hala.
"Ini akan memberi impak besar kepada kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak kerana kami akan melakukan lebih banyak lagi dalam perdagangan digital, perkhidmatan digital, pembayaran digital dan e-dagang," katanya.
Beliau menegaskan bahawa ASEAN dan China merupakan rakan dagang yang penting bagi satu sama lain, dengan perdagangan dua hala yang terus berkembang.
Beliau menzahirkan harapan agar di bawah FTA ASEAN-China dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), kedua-dua pihak akan terus mengekalkan momentum dalam kerjasama perdagangan dan pelaburan. "Apa yang kita mahu lihat ialah perdagangan terus bergerak maju, dan pelaburan juga dikekalkan."
Kao berkata tenaga telah menjadi "perkara keutamaan bagi ASEAN," sambil mengetengahkan minat dan pelaburan China yang semakin meningkat dalam sektor tenaga ASEAN, terutamanya dalam tenaga boleh baharu dan pengeluaran kenderaan elektrik (EV).
"Adalah baik untuk kita bekerjasama dalam hal ini, terutamanya apabila lebih banyak pelaburan masuk ke dalam sektor tenaga. Ini khususnya melibatkan pengeluaran EV di ASEAN, yang akan membolehkan lebih ramai warga ASEAN menggunakan EV," katanya.
Memandangkan kerjasama dua hala telah berkembang dalam banyak sektor, Kao berkata tiada satu bidang pun yang mentakrifkan hubungan ASEAN-China, sebaliknya sektor-sektor baharu akan memainkan peranan yang semakin penting.
"Tiada satu isu tunggal yang akan mentakrifkan hubungan kita," katanya. "Tetapi untuk jangka panjang, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu muncul akan menjadi penentu kepada hubungan yang semakin berkembang antara kita."
Mengenai isu politik dan keselamatan, Kao mengesahkan semula bahawa ASEAN sangat konsisten dalam hubungan dan dasarnya terhadap China, dengan menyatakan bahawa pendekatan dan pendirian ASEAN adalah konsisten terhadap dasar satu China.
Beliau menekankan bahawa ASEAN sangat mementingkan keamanan dan kestabilan serantau dan sentiasa menjadi penyokong kuat kepada diplomasi dialog dan penglibatan yang membina.
"Jika anda membaca Piagam ASEAN dengan jelas, ASEAN menyokong kedaulatan dan integriti wilayah," katanya sambil menambah bahawa ASEAN percaya hubungannya dengan China menyumbang kepada keamanan dan kestabilan jangka panjang di rantau ini.
Kao turut mengetengahkan keunikan hubungan ASEAN-China, dengan menyatakan bahawa kedua-dua pihak adalah jiran rapat, seperti yang ditakrifkan oleh geografi, darat dan maritim, budaya serta tamadun, serta hubungan antara rakyat.
Sepanjang lebih tiga dekad, katanya, kedua-dua pihak telah membina kerjasama berdasarkan rasa hormat, persefahaman dan manfaat bersama. China merupakan antara rakan terawal yang mewujudkan kawasan perdagangan bebas dengan ASEAN, dan kedua-dua pihak kini mengekalkan salah satu mekanisme kerjasama yang paling meluas bagi ASEAN.
Beliau berkata China kekal antara sumber utama pelancong bagi ASEAN, dengan ketersambungan penerbangan yang kukuh dan aliran pergerakan rakyat dua hala yang kerap. Ramai warga China menetap, bekerja dan belajar di negara ASEAN, manakala ramai warga ASEAN mencari peluang di China, membentuk asas yang kukuh bagi hubungan antara rakyat.
Meninjau ke masa hadapan, Kao berkata ASEAN akan menyambut ulang tahun ke-60 tahun depan, dan pertukaran antara rakyat adalah asas kepada hubungan yang berkekalan antara ASEAN dan China.
"Rakyat adalah pembuat dan pemacu hubungan jangka panjang. Perkongsian kita harus ditakrifkan oleh keamanan, oleh rakyat kita dan oleh kemakmuran bersama," tambahnya.
"Dalam dunia yang dinamik ekonomi dan politik global sentiasa berubah, apa yang perlu kita lakukan ialah mengekalkan momentum kerjasama yang positif," kata Kao. "Kepercayaan sentiasa menjadi faktor paling kuat dalam hubungan kita, dan kita mesti memberi tumpuan kepadanya sebagai kunci kepada hubungan jangka panjang kita."
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#kecerdasan buatan
#integriti
#E-dagang
#ASEAN
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan