[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
DUNIA

Keruntuhan sistem kesihatan ancam nyawa kanak-kanak di Gaza - UNICEF

Bernama 04/06/2025 | 15:17 MYT
Sejak 7 Okt 2023, purata 27 kanak-kanak terbunuh setiap hari, dan jika termasuk yang cedera, jumlah korban kanak-kanak mencecah purata 83 sehari dalam tempoh 20 bulan. - AP
RAMALLAH: Keruntuhan sistem kesihatan kini menjadi ancaman serius terhadap nyawa kanak-kanak di Semenanjung Gaza, kata jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Palestin, Kazim Abu Khalaf.
Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), Abu Khalaf dalam sidang media pada Rabu berkata kanak-kanak berdepan cabaran yang amat besar akibat perang yang berterusan, sambil menegaskan bahawa tiada tempat lain di dunia mencatat jumlah kematian kanak-kanak yang begitu tinggi setiap hari.
Beliau memaklumkan bahawa sejak 7 Okt 2023, purata 27 kanak-kanak terbunuh setiap hari, dan jika termasuk yang cedera, jumlah korban kanak-kanak mencecah purata 83 sehari dalam tempoh 20 bulan.
Abu Khalaf menjelaskan bahawa kanak-kanak merupakan antara golongan paling terkesan akibat kebuluran yang melanda Semenanjung Gaza, dengan puluhan ribu kanak-kanak didaftarkan memerlukan rawatan akibat kekurangan zat makanan akut yang teruk.
Statistik awal, katanya, menunjukkan lebih 40,000 kanak-kanak menjadi yatim piatu - angka yang dijangka terus meningkat.
Beliau menegaskan bahawa kanak-kanak di Gaza akan mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih, bukan sahaja daripada kecederaan fizikal tetapi juga trauma psikologi dan emosi yang amat mendalam.
-- BERNAMA
#Gaza #Palestin #Kanak-kanak #sistem kesihatan #kebajikan #ancaman