DUNIA

Kes demam campak di AS lonjak empat kali ganda purata tahunan dalam tempoh beberapa minggu

Bernama 07/02/2026 | 10:02 MYT
Lonjakan berlaku ketika South Carolina berhadapan dengan apa yang disifatkan oleh pegawai sebagai wabak demam campak terbesar dalam sejarah. - Gambar fail/www.newhealthadvisor.com
ANKARA: Amerika Syarikat (AS) mencatatkan sekurang-kurangnya 733 kes demam campak yang disahkan setakat tahun ini, iaitu empat kali ganda jumlah yang biasanya direkodkan dalam setahun, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pada Jumaat.

Menurut CDC, jumlah itu dicapai dalam tempoh hanya beberapa minggu, menunjukkan peningkatan mendadak berbanding purata tahunan jangka panjang kira-kira 180 kes sejak penyakit itu diisytiharkan terhapus di negara berkenaan pada tahun 2000.

Angka itu bagaimanapun tidak termasuk rekod tertinggi 2,276 kes yang dicatatkan pada tahun lepas.

Lonjakan itu berlaku ketika South Carolina sedang berhadapan dengan apa yang disifatkan oleh pegawai sebagai wabak demam campak terbesar dalam sejarah baru-baru ini, manakala beberapa negeri lain terus melaporkan wabak aktif.

Negeri-negeri yang mengesahkan kes termasuk Arizona, California, Florida, Georgia, Idaho, Kentucky, Minnesota, Nebraska, North Carolina, North Dakota, Ohio, Oklahoma, Oregon, Pennsylvania, South Dakota, Utah, Virginia, Washington dan Wisconsin, menurut CDC.

Pegawai kesihatan menyatakan bahawa kebanyakan wabak tertumpu di kawasan yang mempunyai kadar liputan vaksinasi yang rendah.

"Memandangkan ia adalah virus yang sangat berjangkit, sebarang penularan wabak demam campak sebenarnya mendedahkan kawasan atau komuniti yang mempunyai kadar vaksinasi rendah," lapor NBC News yang memetik kenyataan Demetre Daskalakis, bekas Ketua Cawangan CDC yang memantau penyakit itu.

Data CDC menunjukkan peratusan kanak-kanak tadika yang menerima vaksin demam campak, beguk dan rubella (MMR) telah menurun daripada 95 peratus pada 2019 kepada di bawah 93 peratus pada 2025.

Pakar kesihatan awam berkata imuniti berkelompok biasanya memerlukan kadar vaksinasi sekitar 95 peratus untuk memperlahankan penyebaran virus berkenaan.

"Saya berpendapat ini menunjukkan bahawa sistem pertahanan kita telah lemah," kata Daskalakis, sambil menambah bahawa penurunan kadar vaksinasi menyebabkan kira-kira 300,000 kanak-kanak tadika tidak dilindungi.

CDC menyatakan bahawa dua dos vaksin MMR adalah kira-kira 97 peratus berkesan dalam mencegah jangkitan demam campak.

-- BERNAMA

#wabak #demam campak #Amerika Syarikat #vaksinasi #lonjakan kes