DUNIA

Kes kedua Demam Babi Afrika dikesan di Korea Selatan

Bernama 23/01/2026 | 20:15 MYT
Korea Selatan pada Jumaat mengesahkan kes kedua Demam Babi Afrika (ASF) tahun ini, sekali gus mendorong pihak berkuasa melupuskan ribuan ekor babi. - Gambar hiasan Sinar Harian
SEOUL: Korea Selatan pada Jumaat mengesahkan kes kedua Demam Babi Afrika (ASF) tahun ini, sekali gus mendorong pihak berkuasa melupuskan ribuan ekor babi, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kes terbaharu itu disahkan di sebuah ladang babi di Anseong, kira-kira 65 kilometer di selatan Seoul, kurang seminggu selepas wabak dikesan di Wilayah Gangwon pada Sabtu lalu, menurut pegawai.

Pihak berkuasa melupuskan sebanyak 2,600 ekor babi di ladang berkenaan sebagai langkah pencegahan dan mengeluarkan perintah henti pergerakan selama 48 jam di Anseong serta bandar dan daerah bersebelahan, termasuk Pyeongtaek dan Yongin.

Perdana Menteri, Kim Min Seok mengarahkan langkah pengawalan kecemasan, termasuk mengehadkan akses ke lokasi kejadian dan melaksanakan operasi pelupusan, selepas menerima laporan mengenai kes baharu itu.

Kim turut menegaskan keperluan untuk menjalankan siasatan epidemiologi menyeluruh bagi menentukan punca wabak itu.

ASF merupakan penyakit maut kepada babi, namun tidak menjejaskan manusia. Ketika ini, tiada vaksin atau rawatan bagi penyakit berkenaan.

-- BERNAMA


#Demam Babi Afrika #ASF #Korea Selatan #pencegahan