DUNIA

Kes penyakit berkaitan pencemaran udara meningkat di Delhi

Bernama 06/11/2025 | 09:13 MYT
Golongan doktor melaporkan peningkatan sebanyak 60 peratus kes masalah mata berikutan jerebu toksik yang menyelubungi Delhi. - AP
NEW DELHI: Pengamal perubatan di ibu negara India, Delhi melaporkan peningkatan mendadak kes penyakit pernafasan berkaitan pencemaran udara seperti bronkitis, serangan asma akut serta gejala lain termasuk mata berair, hidung berair dan rasa pedih, lapor Xinhua.

Menurut laporan media, hospital di ibu kota India itu sesak dengan pesakit yang mengalami simptom berkaitan pencemaran udara sejak beberapa hari lalu.

Pada Khamis, Indeks Kualiti Udara di beberapa kawasan di Delhi kekal dalam kategori "tidak sihat". Lapisan jerebu dapat dilihat di bahagian selatan bandar raya itu.

Dalam usaha mengawal tahap pencemaran udara, kerajaan Delhi melaksanakan beberapa langkah seperti menyembur air pada pokok dan jalan raya. Penyembur kabus air turut dipasang pada tiang lampu jalan di kawasan Shanti Path di New Delhi bagi membantu mengurangkan habuk dan bahan pencemar bawaan udara.

Menurut laporan dalam talian oleh Press Trust of India, doktor melaporkan peningkatan sebanyak 60 peratus kes masalah mata berikutan jerebu toksik yang menyelubungi Delhi.

"Doktor memberi amaran bahawa tahap pencemaran yang sangat tinggi bukan sahaja berbahaya kepada paru-paru tetapi juga kepada mata," menurut laporan itu.

Profesor Perubatan di Hospital Ram Manohar Lohia yang berpangkalan di Delhi, Pulin Kumar Gupta, dipetik sebagai berkata jumlah pesakit yang mengalami penyakit berkaitan pencemaran udara di hospital itu meningkat antara 22 hingga 25 peratus.

"Disebabkan pencemaran, Jabatan Pesakit Luar (OPD) sesak dengan pesakit yang menghidap penyakit pernafasan seperti bronkitis dan serangan asma akut. Ramai juga datang ke OPD ENT dengan masalah sinusitis, hidung berair dan hidung berdarah manakala kes dermatitis juga telah meningkat," katanya.

Agensi berita swasta ANI memetik Dr Bobby Bhalotra, pakar perubatan kanan di Jabatan Perubatan Dada di Hospital Sir Ganga Ram, sebagai berkata ramai pesakit baharu melaporkan kerengsaan tekak, rinitis, hidung air, mata gatal serta kesesakan dada yang teruk.

"Semua orang terjejas akibat pencemaran udara. Kanak-kanak dan warga emas merupakan kumpulan paling terdedah," katanya. Beliau menasihatkan penduduk Delhi supaya tidak menyertai aktiviti fizikal luar seperti berjoging dan berlari, serta meminta kanak-kanak dan warga emas kekal berada di dalam rumah.

-- BERNAMA

#New Delhi #pencemaran udara #penyakit pernafasan #kualiti udara #India