SEEKOR anjing telah dijangkiti wabak cacar monyet selepas mendapat virus itu daripada pemiliknya, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pakar kesihatan berkata, ia merupakan kes pertama seumpamanya dan menegaskan adalah penting untuk mengasingkan diri daripada haiwan peliharaan yang dijangkiti.

WHO juga memberi amaran tentang keperluan untuk membuang sampah dengan berhati-hati bagi mengurangkan risiko menjangkiti haiwan lain.

Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti bahawa anjing boleh menularkan penyakit itu kepada anjing lain atau manusia.

Cacar monyet merebak melalui sentuhan kulit ke kulit dan juga apabila seseorang menyentuh kain seperti pakaian, cadar atau tuala, yang telah digunakan individu dijangkiti virus itu.

Kira-kira 35,000 kes  cacar monyet kini telah disahkan di seluruh dunia dengan kebanyakannya di Eropah dan Amerika Utara dan Selatan.

Terdapat 12 kematian yang dikaitkan dengan wabak itu.

Cacar monyet diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan awam global oleh WHO pada Julai lalu.

Mengulas lanjut mengenai kes pertama penularan cacar monyet dari manusia ke anjing itu, WHO berkata, ia berlaku di Paris, menurut laporan The Lancet.

Kes melibatkan dua lelaki homoseksual yang tinggal bersama, yang menyedari terdapat luka pada anjing baka greyhound yang dipelihara, 12 hari selepas mereka mendapat gejala.

Analisis genetik menunjukkan bahawa virus yang menjangkiti anjing itu betul-betul sama dengan virus yang menjangkiti kedua-dua lelaki berkenaan, kata laporan itu.

Mereka mengakui, telah tidur bersama dengan anjing mereka.

Sementara itu, menurut ketua teknikal tindak balas cacar monyet di WHO, Dr Rosamund Lewis, perkara itu belum pernah dilaporkan sebelum ini dan pihaknya percaya ia adalah kejadian pertama.

Pengarah Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Mike Ryan pula berkata, ia sesuatu yang tidak dijangka.

"Tetapi apa yang kita tidak mahu lihat berlaku ialah penyakit berpindah dari satu spesies ke spesies seterusnya dan kemudian kekal dalam spesies itu serta bergerak dalam spesies baharu.

"Kerana ketika itulah virus boleh menyesuaikan diri apabila ia diberi insentif untuk berkembang seperti itu," katanya.

Dalam pada itu, pengarah persediaan risiko jangkitan global di WHO, Dr Sylvie Briand menambah, kes berkenaan merupakan yang pertama dan bermakna anjing boleh dijangkiti.

"Tetapi ia tidak bermakna anjing itu boleh menularkan penyakit berkenaan dan menjangkiti anjing lain, atau anjing itu boleh menjangkiti semula manusia jika ia dijangkiti," jelasnya.

Bekalan vaksin untuk melindungi daripada cacar monyet kini terhad di seluruh dunia.

Terdapat peningkatan 20 peratus dalam kes yang dilaporkan sepanjang minggu lalu yang juga 20 peratus lebih daripada minggu sebelumnya.

Kebanyakan kes adalah pada lelaki homoseksual dan pakar kesihatan global menekankan kepentingan untuk semua negara memberi maklumat kepada komuniti ini untuk membantu melindungi kesihatan mereka.

Isu haiwan yang dijangkiti virus itu perlu dipantau dengan teliti kerana virus ini telah wujud.

Cacar monyet telah menunjukkan kebolehan untuk menjangkiti pelbagai jenis mamalia termasuk tupai, tikus, monyet dan manusia.