Indonesia mencatatkan 2,880 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 196,989.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 89,992 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, 105 lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 8,130 orang.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 47,379 kes, dengan tambahan 1,046 kes baharu.

Provinsi Jawa Timur merekodkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,576 orang, diikuti Jakarta (1,296), Jawa Tengah (1,090), Sulawesi Selatan (372) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

-- BERNAMA