DUNIA

Kes selesema melebihi tahap amaran di Jepun

Bernama 26/12/2025 | 13:30 MYT
Jumlah pesakit baharu influenza di Jepun kekal melebihi tahap amaran iaitu 30 kes bagi setiap institusi perubatan pada minggu lalu. - Gambar fail/hiasan/REUTERS
TOKYO: Jumlah pesakit baharu influenza di Jepun kekal melebihi tahap amaran iaitu 30 kes bagi setiap institusi perubatan pada minggu lalu, menurut Kementerian Kesihatan pada Jumaat, lapor Jiji Press.

Kes selesema baharu yang dilaporkan oleh kira-kira 3,000 hospital dan klinik yang dipantau secara berkala di seluruh negara mencatatkan purata 32.73 kes bagi minggu berakhir Ahad.

Walaupun jumlah kes baharu bagi setiap institusi menurun untuk minggu keempat berturut-turut selepas mencecah 51.12 pada tempoh 17 hingga 23 Nov, kementerian itu menggesa usaha pencegahan jangkitan dipertingkat semula, termasuk pengudaraan yang baik serta langkah untuk membendung penularan titisan udara ketika batuk dan bersin.

Kementerian itu turut mengingatkan bahawa orang ramai dijangka berkumpul dalam jumlah besar sepanjang musim cuti hujung tahun.

Daripada 47 wilayah di negara itu, Miyazaki mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 94.75, diikuti Kagoshima dengan 76.54.

-- BERNAMA

#Jepun #Influenza #selesema #melebihi tahap amaran