DUNIA

Kes tikam dalam tren UK: Sembilan mangsa disah cedera parah

Agensi 02/11/2025 | 04:30 MYT
Pasukan polis antikeganasan sedang membantu siasatan bagi mengenal pasti sepenuhnya keadaan dan motif insiden tersebut. - Gambar/ Reuters
CAMBRIDGESHIRE: Sembilan individu kini sedang menerima rawatan akibat cedera parah ditikam dalam sebuah tren berhampiran Cambridge, timur England pada Sabtu.

Dalam pada itu, dua lelaki telah ditahan dalam insiden yang disifatkan oleh Perdana Menteri Britain, Keir Starmer sebagai kejadian yang mengerikan.

Polis Pengangkutan Britain dalam kenyataan berkata, pasukan polis antikeganasan sedang membantu siasatan bagi mengenal pasti sepenuhnya keadaan dan motif insiden tersebut.

Rakaman video di Stesen Huntingdon, tempat tren itu berhenti, menunjukkan pegawai dan kakitangan memakai jaket berwarna terang memeriksa tren dan landasan menggunakan lampu suluh pada malam Sabtu.

Polis Cambridgeshire memaklumkan mereka menerima panggilan berhubung laporan beberapa individu ditikam di atas perkhidmatan tren 1825 dari Doncaster, utara England ke London King's Cross.

Laman sesawang LNER turut mengesahkan bahawa pihaknya sedang mengendalikan perkhidmatan tren sebaik mungkin susulan kejadian antara hentian Stevenage dan Peterborough itu.

Katanya, kesemua laluan ditutup sementara buat masa ini sementara pihak polis meneruskan siasatan dan pencarian.

#Keir Starmer #kes tikam #Stesen Huntingdon #cambridge