DUNIA
Kesatuan Afrika desak dasar larangan perjalanan AS yang seimbang, berasaskan bukti

Pentadbiran Trump pada malam Rabu mengumumkan larangan yang akan menghalang kemasukan ke AS dari 12 negara, serta mengenakan sekatan separa ke atas tujuh negara lain. - Foto AP
ISTANBUL: Kesatuan Afrika (AU) pada Khamis menggesa Amerika Syarikat (AS) agar mengamalkan dasar larangan perjalanan yang "seimbang, berasaskan bukti dan mencerminkan hubungan dua hala jangka panjang," susulan sekatan perjalanan terbaru Washington terhadap lebih sedozen negara, kebanyakannya dari benua Afrika, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Mengakui hak kedaulatan setiap negara untuk perlindungan dan keselamatan sempadan, Suruhanjaya AU dalam satu kenyataan menyatakan kebimbangan terhadap "kesan negatif yang mungkin timbul" ke atas hubungan rakyat, pertukaran pendidikan, perdagangan, serta hubungan diplomatik yang telah dibina secara berperingkat selama beberapa dekad.
Kenyataan itu turut menekankan kepentingan bersama antara benua Afrika dan AS dalam memupuk keamanan, kemakmuran serta kerjasama global.
AU turut menyeru secara berhemah agar pentadbiran AS mempertimbangkan pendekatan yang lebih bersifat perundingan dan terlibat dalam dialog konstruktif dengan negara yang terjejas, serta mengamalkan komunikasi yang telus dan, jika perlu, usaha kerjasama untuk menangani kebimbangan asas di sebalik keputusan sekatan perjalanan itu.Pentadbiran Trump pada malam Rabu mengumumkan larangan yang akan menghalang kemasukan ke AS dari 12 negara, serta mengenakan sekatan separa ke atas tujuh negara lain, dengan alasan sistem tapisan dan saringan yang tidak mencukupi sehingga menjejaskan keupayaan AS mengesan ancaman keselamatan sebelum kemasukan.
Rumah Putih dalam kenyataan memaklumkan bahawa Presiden Trump mengambil tindakan itu selepas meneliti laporan daripada Setiausaha Negara Marco Rubio dan beberapa pegawai lain.
Perintah itu secara khusus melarang kemasukan warga dari Afghanistan, Myanmar, Chad, Republik Congo, Guinea Khatulistiwa, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman. Tujuh lagi negara - Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela - akan berdepan sekatan separa serta kemasukan yang terhad.
Larangan dan sekatan ini akan berkuat kuasa pada 12.01 pagi Waktu Timur AS, Isnin ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami