INTERNATIONAL
Kesatuan Polis Jerman seru larangan senjata dalam semua pengangkutan awam
Kerajaan negeri Berlin baru-baru ini menyokong larangan membawa senjata api dan pisau dalam semua sistem pengangkutan awam di ibu negara. - Gambar hiasan/ Freepick
BERLIN: Sebuah kesatuan polis utama di Jerman menggesa larangan membawa senjata di seluruh negara dalam semua pengangkutan awam dan kemudahan berkaitan, termasuk di stesen kereta api, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Andreas Rosskopf, ketua bahagian polis persekutuan dalam Kesatuan Polis GdP, berkata peraturan berkaitan ketika ini berbeza-beza di 16 negeri persekutuan Jerman.
Walaupun larangan senjata sudah berkuat kuasa di kereta api jarak jauh, masih tiada penyelarasan menyeluruh.
"Orang ramai sering kali tidak mengetahui sama ada sesuatu stesen tergolong dalam zon larangan atau tidak," katanya kepada dpa.
Kerajaan negeri Berlin baru-baru ini menyokong larangan membawa senjata api dan pisau dalam semua sistem pengangkutan awam di ibu negara.
Beberapa negeri telah melaksanakan larangan sepenuhnya, manakala yang lain sedang mempertimbangkannya.
Bagaimanapun, negeri Bavaria mengambil pendekatan berbeza dengan mahu keputusan itu ditentukan di peringkat wilayah dan pihak berkuasa tempatan.
Kesatuan GdP menyeru agar dasar bersama dapat dipersetujui dalam mesyuarat para menteri dalam negeri bersama rakan sejawat mereka di peringkat persekutuan.
-- BERNAMA