KUALA LUMPUR: Laporan jawatankuasa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Februari lalu mendedahkan bahawa Korea Utara mencuri lebih banyak aset mata wang kripto pada 2022 berbanding tahun-tahun sebelumnya dan mensasarkan rangkaian syarikat aeroangkasa serta pertahanan asing.

Jenayah siber dilakukan oleh Korea Utara bukanlah perkara baharu, dan ia realiti yang membimbangkan seluruh dunia.

Bagaimana mungkin negara yang mengasingkan diri daripada seluruh dunia telah mengasah kemahirannya dalam melakukan jenayah siber di seluruh dunia?

Seteru Korea Utara, Korea Selatan, baru-baru ini mendedahkan bahawa laman sesawang pekerjaan bebas yang telah lama diwujudkan adalah platform utama bagi Korea Utara "merekrut" pekerja maklumat dan teknologi (IT) mereka, dan membida projek serta menjana pendapatan dalam mata wang asing, terutama menggunakan mata wang kripto.

Penganalisis Kanan Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS) Malaysia bagi program Kajian Dasar dan Keselamatan Luar Negara Farlina Said memberitahu Bernama, kecekapan dan kecanggihan teknologi Korea Utara membabitkan jenayah siber sememangnya telah berkembang sejak beberapa tahun lalu. 

"Berdasarkan beberapa pemerhatian asas yang dapat saya kongsikan di sini, terdapat beberapa kaedah yang digunakan, daripada sesuatu yang mudah seperti tekan pada fail daripada pengirim yang tidak dikenali, seterusnya mengaktifkan perisian hasad (malware) ke dalam sistem.

"Namun, beberapa isu membabitkan aktiviti siber tidak semudah itu dan untuk menanganinya memerlukan kerjasama banyak pihak. Sebagai contoh, aktiviti jenayah dihentikan oleh kakitangan IT yang sangat teliti, ini menyebabkan beban kerja tambahan dalam memastikan keselamatan siber secara konsisten," katanya.

Beliau berpendapat bahawa sektor mata wang kripto Asia Tenggara yang semakin berkembang terdedah kepada ancaman sedemikian.

"Pembangunan kapasiti siber Korea Utara mungkin terikat dengan percubaan negara itu untuk memanfaatkan keupayaan yang tidak simetri, kos rendah dan berimpak tinggi; terutamanya jika asimetri dibangunkan di negara maju Korea Selatan atau Amerika Syarikat turut diambil kira.

"Rantau ASEAN yang menyediakan persekitaran digital yang matang, kini terdedah sedangkan proses dan mekanisme kerjasama untuk kekal selangkah di hadapan penjenayah hanya di peringkat pembangunan," katanya sambil menyatakan bahawa adalah wajar untuk rakyat Malaysia mengetahui tentang cabaran Korea Utara yang mendorong kecanggihan.

Beliau seterusnya menekankan bahawa adalah relevan untuk rakyat Malaysia memahami risiko siber mampu memberi kesan yang memudaratkan dan boleh dieksploitasi untuk tujuan jenayah.

Pengarah Pusat Serantau ASEAN Universiti Malaya (CARUM) Dr Rahul Mishra, berkata Malaysia boleh mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya walaupun terdapat kelemahan ekoran ancaman Korea Utara di rantau ini.

"Saya fikir masih agak awal bagi Malaysia untuk merangka dasar yang komprehensif tentang cara menggunakan mata wang kripto tetapi langkah berjaga-jaga ke arah itu tidak pernah terlambat.

"Bagi rakyat biasa di Malaysia, mengekalkan pendekatan berhati-hati yang seimbang terhadap mata wang kripto adalah satu-satunya cara setakat ini," katanya.

Mishra juga menegaskan bahawa adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk mengetahui risiko jenayah siber dengan memahami cabaran geopolitik yang memberi kesan kepada dunia hari ini.

"Sememangnya, adalah amat penting bagi Malaysia dan kerajaannya untuk memerhatikan cabaran yang ditimbulkan oleh ancaman keselamatan siber.

"Syukurlah, Malaysia yang tidak berpihak kepada mana-mana negara membabitkan hal Semenanjung Korea dan berpegang dengan pendirian neutral yang membantunya mengelak daripada sebarang cabaran konvensional yang ditimbulkan oleh Korea Utara," katanya.

Berkongsi pendapat yang sama, Felo Kanan Dr Azmi Hassan daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) yang juga penganalisis pertahanan bersetuju bahawa semua cabaran boleh diatasi dengan pendekatan holistik, kolektif di peringkat blok serantau.

Azmi Hassan berkata anggota ASEAN melalui Sekretariat ASEAN perlu bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran berhubung serangan siber dan kecurian mata wang kripto yang dipercayai membiayai aktiviti haram dan ketenteraan.

"Untuk menguatkuasakan undang-undang dan mengaplikasi mana-mana strategi tertentu, kerjasama dengan sektor swasta juga penting," tambah Azmi.

Memandangkan negara anggota ASEAN telah memperakui Norma Perilaku Negara Bertanggungjawab PBB, Farliana berkata semua negara boleh mempertimbang untuk meningkatkan mekanisme kerjasama dan menetapkan matlamat.

"Mungkin berguna untuk menetapkan matlamat dalam menangani aktiviti siber haram; antaranya memberi tumpuan kepada membina kesedaran dan kebersihan siber.

"Memandangkan sektor swasta mempunyai kuasa ke atas saluran pelaksanaan urusan penguatkuasaan urusniaga, pelaburan dalam keselamatan siber harus meningkatkan kepercayaan dalam sistem mereka, terutamanya sistem kewangan.

"Memperhalusi proses ini untuk menjalin kerjasama yang lebih baik, peraturan dan kewajipan akan berguna.

Bagi Mishra, mewujudkan pasukan petugas khas untuk memetakan cabaran ini dan kemudian berkongsi pandangan dengan rakan kongsi ASEAN dan serantau yang lain untuk mempelajari amalan yang paling berkesan adalah jalan keluar yang efektif.

Menurut data yang dikeluarkan oleh kerajaan Korea Selatan, jumlah mata wang kripto yang dicuri oleh Pyongyang sejak 2017 merekodkan lebih US$1.2 bilion dan kira-kira US$626 juta pada tahun ini sahaja.

-- BERNAMA