Kesemua 100 monyet terlibat dalam nahas jalan raya berjaya dikesan

Astro Awani
Januari 23, 2022 04:46 MYT
Tong yang mengandungi monyet bergelimpangan di lebuh raya dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Route 54, Pennsylvania. - Foto AP
PENNSYLVANIA : Kesemua 100 monyet yang terlepas dalam nahas membabitkan dua kenderaan telah berjaya dikesan.
Kejadian di Pennsylvania, Amerika Syarikat pada Jumaat berlaku selepas lori yang membawa haiwan itu bertembung dengan sebuah lori sampah di lebuh raya.
Suruhanjaya Haiwan Liar Pennsylvania dibantu beberapa agensi lain melancarkan usaha pencarian akibat cuaca sejuk beku yang melanda kawasan berkenaan.
Jurucakap Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, Kristen Nordlund berkata, kesemua monyet yang terlepas itu berjaya ditangkap semula.
Namun tiga ekor haiwan terpaksa ditidurkan tanpa menjelaskan mengapa tindakan itu dilakukan.
Lori membawa kesemua haiwan itu dalam perjalanan ke fasiliti yang diluluskan CDC selepas tiba di Lapangan Terbang Kennedy di New York dari Mauritius, kata polis.
Lori berkenaan kemudian bertembung dengan sebuah lori sampah di susur keluar Interstate 80 di Daerah Montour, Pennsylvania.
#Nahas #monyet #lebuh raya #CDC