DUNIA
Kesihatan dan perubahan iklim perlu ditangani bersama - PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bersama Presiden Brazil, Lula Inacio Da Silva. - Bernama
RIO DE JANEIRO : Isu kesihatan global, perubahan iklim dan kewangan dilihat saling berkait selain perlu ditangani bersama secara menyeluruh.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketiga-tiga isu itu tidak dapat dipisahkan dan memberi kesan langsung kepada kestabilan serta kesejahteraan sejagat.
Berucap dalam kenyataan negara pada Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro, Brazil pada Isnin, beliau menegaskan akses kepada vaksin, sistem kesihatan awam yang kukuh, serta kawal selia rantaian bekalan perubatan global merupakan aspek penting kepada kestabilan negara dan keselamatan antarabangsa.
“Malaysia percaya akses kepada vaksin, sistem kesihatan awam yang kukuh, dan peraturan rantaian bekalan perubatan global adalah aspek penting kepada kestabilan negara dan keselamatan antarabangsa.“Kami menyokong kerjasama yang lebih mendalam antara BRICS dan ASEAN untuk memperkukuh pengawasan, mempercepat perkongsian maklumat, dan membina daya tahan merentasi sempadan,” katanya.
Dengan tema alam sekitar, COP30 dan kesihatan global, Anwar menekankan Malaysia komited terhadap perubahan iklim dan peralihan rendah karbon.
Malaysia, katanya, menetapkan sasaran pengurangan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai sifar bersih menjelang 2050, termasuk menilai peranan teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, beliau juga menegaskan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kesepaduan serantau dalam tindakan iklim.
“ASEAN memberi tumpuan kepada penambahbaikan akses pembiayaan hijau, penyelarasan piawaian, serta meletakkan Asia Tenggara sebagai pusat inovasi tenaga bersih dan pelaburan lestari,” ujar Anwar.
Atas sebab itu juga, Malaysia menyokong Deklarasi Rangka Kerja Pemimpin BRICS mengenai pembiayaan iklim.
Beliau turut menyeru agar COP30 di Belém menjadi titik perubahan daripada aspirasi kepada pelaksanaan, dengan mengambil kira modal, risiko dan tanggungjawab.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami