OSLO: Keadaan kesihatan Raja Norway, Raja Harald V dilaporkan merosot sepanjang hujung minggu ketika baginda menerima rawatan di hospital, menurut kenyataan rasmi Istana Diraja Norway pada Ahad.
Raja Harald V, 89, yang merupakan ketua negara tertua yang masih memerintah di Eropah, dimasukkan ke hospital pada Isnin lalu bagi mendapatkan rawatan akibat anemia.
Dalam kenyataan itu, pihak istana memaklumkan, tahap kesihatan baginda merosot sepanjang hujung minggu.
"Kesihatan Seri Paduka Baginda Raja merosot pada hujung minggu. Baginda kini menerima rawatan antibiotik susulan jangkitan bakteria dalam darah dan telah menunjukkan tindak balas positif terhadap rawatan itu," menurut kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, istana menegaskan, keadaan Raja Harald V ketika ini berada pada tahap stabil dan terus dipantau oleh pasukan perubatan.
Raja Harald V menaiki takhta Norway sejak 1991 dan merupakan antara monarki paling lama berkhidmat di Eropah.
Baginda sebelum ini beberapa kali berdepan masalah kesihatan berkaitan usia, namun terus menjalankan tugas rasmi dengan sokongan keluarga diraja dan kerajaan Norway. - Agensi