Skip to main content

Dunia

Ketegangan di Yaman meningkat, hampir 200,000 kehilangan tempat tinggal

Sekumpulan tentera Houthi sewaktu bersiap sedia untuk ditempatkan di Sanaa, Yaman pada September lalu. - AP
Sekumpulan tentera Houthi sewaktu bersiap sedia untuk ditempatkan di Sanaa, Yaman pada September lalu. - AP

Advertisement

ISTANBUL: Yaman menyaksikan peningkatan ketenteraan paling meluas selepas tiga minggu, dalam beberapa jam kebelakangan ini, antara tentera kerajaan dan kumpulan Houthi.

Pertempuran tertumpu di wilayah barat daya Taiz dan Lahej, peningkatan paling sengit sejak 10 Sept , apabila Houthi menguasai bandar strategik Mokha, menurut pemantauan Anadolu Ajansi.

Di tengah-tengah peningkatan di lapangan, jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal sejak operasi ketenteraan diperhebat pada Julai menghampiri 198,000, menurut data kerajaan.

Tentera berkata pada Khamis, pihaknya menggagalkan serangan besar Houthi di beberapa bahagian di Taiz dan Lahej dalam serangan udara ke atas lokasi dan kenderaan kumpulan itu.

"Pesawat perang angkatan tentera melakukan enam serangan udara ke atas kedudukan dan kenderaan milik militia Houthi," kata paksi tentera Tor Al-Baha dalam satu kenyataan, sambil menyatakan bahawa pasukan "menggagalkan serangan Houthi berskala besar di semua bahagian paksi Tor Al-Baha dan menghapuskan semua formasi penyerangnya."

Paksi tentera Taiz berkata dalam satu kenyataan bahawa pasukan itu "terlibat dalam pertempuran sengit di kawasan Bani Bakari di daerah Jabal Habashi, hadapan Himyar di daerah Maqbanah di barat Taiz, dan hadapan Al-Aqroud di tenggara wilayah itu."

Ia menambah bahawa tentera itu "menyebabkan korban dan kehilangan peralatan ke atas militia Houthi," tanpa memberikan butiran.

Dalam perkembangan berasingan, sumber tentera memberitahu Anadolu bahawa tentera kerajaan menggagalkan serangan Houthi di kawasan Sharie di daerah Sama'a, tenggara Taiz.

Sumber itu, yang enggan namanya disiarkan, berkata Houthi menyerang kawasan itu, namun pasukan penentangan menggagalkan serangan tersebut, mengakibatkan kematian dan kecederaan pada kedua-dua pihak.

Serangan berkenaan adalah yang pertama dilancarkan oleh Houthi di daerah itu sejak 2014, menurut pemantauan Anadolu.

Sementara itu, Kementerian Hak Asasi Manusia Yaman memberi amaran pada Rabu mengenai kehadiran kanak-kanak yang semakin meningkat direkrut oleh Houthi.

Menurut kementerian itu, pihaknya mendokumentasikan kematian sekurang-kurangnya 100 kanak-kanak yang direkrut oleh Houthi semasa pertempuran pada September, berdasarkan nama, maklumat dan gambar yang diperoleh selepas kematian mereka.

Ia menegaskan bahawa angka itu tidak mewakili jumlah sebenar kanak-kanak yang direkrut atau dibunuh, tetapi hanya bilangan kes terhad yang dapat dikenal pasti dan disahkan, sambil menambah bahawa maklumat lapangan menunjukkan jumlah sebenar adalah lebih tinggi.

Kementerian itu juga telah mendokumenkan kes kanak-kanak diculik atau direkrut di beberapa wilayah di bawah kawalan Houthi sebelum dipindahkan ke kem mobilisasi dan dikerahkan ke medan perang, dan kemudian dikembalikan kepada keluarga mereka sebagai mayat.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan memfailkan aduan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memberi amaran mengenai "ancaman serius Houthi terhadap keselamatan penerbangan awam."

Kerajaan Yaman memberi amaran tentang "ancaman serius terhadap keselamatan dan keamanan penerbangan awam antarabangsa di selatan Laut Merah susulan penggunaan senjata berasal dari Iran oleh militia pengganas Houthi yang dilancarkan dari kawasan di bawah kawalannya di wilayah Al-Hudaydah ke arah laluan udara antarabangsa."

Kerajaan menggesa Majlis Keselamatan "untuk mengambil tindakan antarabangsa segera bagi menghadapi ancaman ini dan menguatkuasakan sekatan senjata ke atas militia."

Menurutnya senjata itu "menggunakan sistem pengesan haba yang mengesan sumber haba tanpa membezakan antara sasaran tentera dan awam."

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement