Skip to main content

Dunia

Ketegangan AS-Iran memuncak, Tehran ancam tindak balas selepas serangan Amerika

FILE PHOTO: A drone view shows vessels near the Strait of Hormuz, as seen from Musandam, Oman, August 28, 2026. REUTERS/Stringer/File Photo
Tentera AS memaklumkan operasi ketenteraan dilancarkan terhadap sasaran tertentu di Iran sebagai tindak balas terhadap cubaan mengancam keselamatan perkapalan di rantau berkenaan. - Foto REUTERS
Advertisement

TEHRAN: Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus memuncak apabila Tehran memberi amaran akan mengambil tindakan balas susulan serangan tentera AS ke atas beberapa lokasi di negara itu, manakala Presiden Donald Trump menegaskan Washington bersedia bertindak lebih agresif jika kepentingannya terus dicabar.

Tentera AS memaklumkan operasi ketenteraan dilancarkan terhadap sasaran tertentu di Iran sebagai tindak balas terhadap cubaan mengancam keselamatan perkapalan di rantau berkenaan.

Media Iran pula melaporkan beberapa letupan berlaku di kawasan strategik termasuk Asaluyeh, Jiroft, Bandar Abbas, Pulau Qeshm, Konarak, Chabahar, Jask, Sirik dan Lavan, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik yang lebih meluas.

Dalam perkembangan berkaitan, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa menyerang sebuah kem tentera AS di Jordan yang dikenali sebagai Kem Titin sebagai respons terhadap tindakan Washington.

Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, menyatakan negaranya tidak akan berdiam diri dan menegaskan angkatan bersenjata Iran memiliki kemampuan untuk memberikan tindak balas yang tegas terhadap sebarang pencerobohan.

Kenyataan itu merupakan reaksi awam pertama beliau selepas serangan baharu antara kedua-dua negara dilaporkan kembali tercetus.

Sementara itu, Trump mempertahankan langkah ketenteraan yang diambil oleh pentadbirannya dengan menyifatkan operasi berkenaan sebagai tindakan yang sah bagi melindungi keselamatan serta kepentingan strategik AS.

Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang serangan balas daripada Iran akan mengundang tindak balas yang lebih berat daripada Washington.

"Jika Iran memilih untuk bertindak balas terhadap serangan ini, mereka akan berdepan tindakan yang jauh lebih kuat," katanya.

Peningkatan ketegangan itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan masyarakat antarabangsa mengenai risiko konflik terbuka di Asia Barat, ketika hubungan antara kedua-dua negara terus berada pada tahap yang rapuh.

Pemerhati geopolitik berpendapat tindakan dan reaksi yang berlaku dalam tempoh terdekat akan menjadi penentu sama ada krisis itu dapat dibendung atau berkembang menjadi konfrontasi serantau yang lebih besar.

 

 

Must Watch Video

Advertisement