Skip to main content

Dunia

Ketegangan selubungi pilihan raya wilayah Kashmir di bawah Pakistan

A protester is detained as he and others gather in support of the banned Joint Awami Action Committee (JAAC), an alliance of civil society groups in Pakistani Kashmir, during a demonstration in Lahore, Pakistan, July 31, 2026. REUTERS/Murtaza Ali
Pusingan kedua pengundian dalam pilihan raya wilayah di Kashmir yang ditadbir Pakistan dibuka pada Ahad di tengah-tengah pertempuran dan ketegangan yang semakin meningkat antara pasukan keselamatan dengan penunjuk perasaan di lembah yang indah itu. - Foto REUTERS/Murtaza Ali
Advertisement

ISLAMABAD: Pusingan kedua pengundian dalam pilihan raya wilayah di Kashmir yang ditadbir Pakistan dibuka pada Ahad di tengah-tengah pertempuran dan ketegangan yang semakin meningkat antara pasukan keselamatan dengan penunjuk perasaan di lembah yang indah itu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Bantahan itu, yang diketuai entiti diharamkan Jawatankuasa Bertindak Awam Bersama (JAAC), yang telah mendesak perubahan kepada undang-undang pilihan raya dan lebih banyak konsesi kepada wilayah itu sejak dua bulan lepas, telah berubah menjadi pertelingkahan membawa maut.

JAAC mendakwa lebih 30 orang terbunuh semasa dan selepas pusingan pertama pengundian pada 27 Julai.

Kumpulan itu juga mengatakan lebih 70 penunjuk perasaan JAAC telah dibunuh oleh pasukan keselamatan sejak protes bermula.

Tuntutan tidak dapat disahkan secara bebas. Amnesty International telah menuntut "penyiasatan telus" terhadap penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

Pada Jumaat, ratusan pemuda dan wanita berhimpun di ibu negara Pakistan untuk menyatakan solidariti dengan JAAC.

Perselisihan antara JAAC dan pasukan keselamatan berterusan di wilayah Rawalakot di mana sekolah, pasar dan bank ditutup, serta perkhidmatan mudah alih dan internet digantung.

Keadaan keselamatan yang tegang menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang rendah pada fasa pertama pengundian, menurut penganalisis, di mana Liga Muslim Pakistan- Nawaz (PML-N) yang memerintah memenangi sembilan daripada 13 kerusi.

“Ia (jumlah keluar mengundi) adalah sekitar 47 peratus pada 2026 berbanding sekitar 61 peratus pada 2021. Ia secara perbandingan lebih rendah tetapi tidak begitu buruk mengikut piawaian di Pakistan,” kata Ahmad Bilal Mahboob, presiden Institut Pembangunan Perundangan dan Ketelusan Pakistan (PILDAT).

Mahboob berkata JAAC dan boikot parti bekas perdana menteri Imran Khan telah menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang lebih rendah.

-- BERNAMA-dpa 

 

 

Must Watch Video

Advertisement