DUNIA

Ketibaan antarabangsa ke Vietnam catat rekod baharu pada 2025, meningkat lebih 20 peratus

Bernama 06/01/2026 | 11:29 MYT
Lonjakan jumlah pelawat dan hasil pelancongan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan sektor perkhidmatan dan ekonomi keseluruhan. - AP
HANOI: Sektor pelancongan Vietnam mencatatkan pencapaian penting pada 2025 apabila ketibaan pelancong antarabangsa mencecah hampir 21.2 juta, meningkat lebih 20.4 peratus berbanding 2024 dan merupakan paras tertinggi pernah direkodkan, sekali gus menonjolkan pemulihan kukuh sektor itu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Lonjakan jumlah pelawat dan hasil pelancongan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan sektor perkhidmatan dan ekonomi keseluruhan.

Menurut Pentadbiran Pelancongan Nasional Vietnam (VNAT), lebih dua juta pelawat antarabangsa tiba pada Disember sahaja, meningkat 15.7 peratus tahun ke tahun (y-o-y), sekali gus melonjakkan jumlah ketibaan tahunan ke paras tertinggi baharu. Berbanding 2019, penanda aras pra-COVID-19, ketibaan antarabangsa meningkat 17.8 peratus.

Laporan oleh Pejabat Statistik Nasional menunjukkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Vietnam berkembang sebanyak 8.02 peratus pada 2025. Sektor perkhidmatan mencatat pertumbuhan 8.62 peratus, menyumbang 51.08 peratus daripada jumlah nilai tambah.

Aktiviti perdagangan dan pelancongan yang rancak, dengan ketibaan antarabangsa pada paras tertinggi sepanjang masa, memainkan peranan utama dalam memacu pertumbuhan sektor perkhidmatan. Hasil daripada perkhidmatan penginapan dan katering dianggarkan sebanyak 843.1 trilion dong (US$32 bilion), meningkat 14.6 peratus, manakala hasil perkhidmatan pelancongan mencecah 93.9 trilion dong, naik 20.2 peratus.

Pengerusi VNAT Nguyen Trung Khanh berkata penerimaan hampir 21.2 juta pelawat antarabangsa pada 2025 menandakan satu kejayaan baharu dalam pembangunan pelancongan Vietnam, sekali gus meningkatkan kedudukan dan jenama negara itu di peta pelancongan global.

Walaupun ketibaan antarabangsa global hanya meningkat sekitar lima peratus, Vietnam jauh mengatasi purata itu dan tersenarai antara destinasi dengan pertumbuhan terpantas di dunia, seiring Jepun. Prestasi ini menyediakan asas kukuh bagi sasaran sektor itu untuk menarik 25 juta pelawat antarabangsa pada 2026.

Dari segi mod kemasukan, ketibaan melalui udara melebihi 17.8 juta, merangkumi lebih 84.3 peratus daripada jumlah keseluruhan, sekali gus mengetengahkan peranan penting penerbangan dan peluasan rangkaian antarabangsa Vietnam. Ketibaan melalui darat dan laut turut mencatat pertumbuhan positif antara 10 peratus hingga lebih 20 peratus.

Dari segi pasaran sumber, Asia kekal sebagai penyumbang terbesar kepada Vietnam dengan 78.6 peratus daripada jumlah ketibaan antarabangsa, melibatkan 16.6 juta pelawat, diikuti Eropah dengan 2.8 juta, kemudian Oceania dan Afrika.

China terus mendahului dengan lebih 5.3 juta pelawat, menyumbang kira-kira 25 peratus daripada jumlah ketibaan antarabangsa, diikuti Korea Selatan (RoK), Taiwan, Amerika Syarikat, Jepun, India, Rusia, Kemboja, Malaysia dan Australia. Kesemua pasaran ini mencatat pertumbuhan stabil, menyokong kepelbagaian asas pelawat antarabangsa Vietnam.

Pasaran besar Asia kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pada 2025. Ketibaan dari China melonjak 41.3 peratus berbanding 2024, Jepun meningkat 14.4 peratus, dan India melonjak 48.9 peratus, manakala ketibaan dari RoK menyusut 5.2 peratus.

Pasaran Asia Tenggara yang berdekatan terus berkembang kukuh, terutamanya Filipina (meningkat 81.3 peratus), Kemboja 44.8 peratus, Laos 20.6 peratus, Malaysia 15.8 peratus, Singapura 15.5 peratus, Indonesia 12.5 peratus dan Thailand 9.5 peratus.

Eropah mencatat pertumbuhan yang sangat memberangsangkan sebanyak 38.8 peratus tahun ke tahun, dengan banyak pasaran mencatat peningkatan dua digit. Rusia muncul sebagai pasaran sumber terbesar Eropah dengan 690,000 pelawat, meningkat 196.9 peratus.

--BERNAMA-VNA


#Vietnam #pelancongan #ketibaan antarabangsa #ekonomi #perdagangan