DUNIA

Ketidaktentuan tarif sukarkan penilaian inflasi, kadar faedah - Pengerusi Fed

Astro Awani 26/06/2025 | 00:15 MYT
Powell menambah bahawa kesan tarif terhadap inflasi mungkin lebih besar atau lebih kecil daripada jangkaan. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), Jerome Powell berkata dasar tarif yang dilaksanakan oleh Presiden Donald Trump telah menyukarkan unjuran inflasi dan penentuan masa yang sesuai untuk pelarasan kadar faedah.
Dalam sesi pendengaran Jawatankuasa Perbankan Senat pada Rabu, Powell menjelaskan bahawa tiada rujukan moden yang mencukupi untuk menilai kesan tarif terhadap inflasi memandangkan dunia telah melalui tempoh panjang penurunan tarif sejak Perang Dunia Kedua.
“Kita tidak mempunyai banyak pengalaman moden mengenainya. Tarif yang dikenakan pada penggal pertama presiden sebelum ini hanya sekitar satu perenam daripada apa yang diunjurkan sekarang,” katanya ketika menjawab soalan Senator John Kennedy (R-Louisiana).
Powell menambah bahawa kesan tarif terhadap inflasi mungkin lebih besar atau lebih kecil daripada jangkaan, justeru Fed mengambil pendekatan berhati-hati dalam membuat keputusan dasar monetari.
Dalam sesi sama, Senator Elizabeth Warren dari Massachusetts membangkitkan isu peningkatan hutang negara dan kesannya terhadap inflasi.
Beliau merujuk kepada rang undang-undang bajet yang sedang dipertimbangkan di Senat, yang dijangka meningkatkan defisit sebanyak AS$2.4 trilion dalam tempoh 10 tahun.
“Secara teori, dasar fiskal boleh menyumbang kepada inflasi,” jawab Powell, sambil menegaskan bahawa Fed lazimnya tidak mengulas mengenai dasar fiskal.
Sementara itu, Senator Jack Reed dari Rhode Island pula bertanya mengenai kesan sekiranya dolar AS tidak lagi menjadi mata wang rizab dunia.
“Terdapat banyak manfaat besar apabila dolar menjadi mata wang rizab utama dunia. Ia kekal sebagai mata wang rizab kerana sistem perundangan kita, institusi demokratik, kestabilan harga dan pasaran modal terbuka,” jelas Powell.
Pengerusi Jawatankuasa Perbankan Senat, Senator Tim Scott dari South Carolina turut menyampaikan kenyataan pembukaan, namun tidak mengemukakan soalan secara langsung kepada Powell.
Sesi pendengaran ini berlangsung ketika Kongres sedang meneliti rang undang-undang bajet yang akan memperbaharui pemotongan cukai era Trump, dengan Dewan Perwakilan telah meluluskannya dan Senat dijangka membentangkannya kepada Presiden dalam masa terdekat.
#tarif #Inflasi #Donald Trump #fed