GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
DUNIA

Ketua ASEAN seru badan pemikir perkukuh ketahanan blok

Bernama 02/10/2025 | 20:00 MYT
Kao memberi amaran tentang persaingan geopolitik yang semakin meningkat, perpecahan ekonomi dan tekanan iklim. - Gambar fail/BERNAMA
JAKARTA: Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn pada Khamis menyeru institusi dasar Asia Tenggara untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam membentuk masa depan blok itu, memberi amaran tentang persaingan geopolitik yang semakin meningkat, perpecahan ekonomi dan tekanan iklim.

Beliau memetik Sidang Kemuncak Badan Pemikir ASEAN (ATTS) sebagai platform "Track II diplomacy" (Track II) yang semakin penting, yang membolehkan ahli akademik dan penyelidik menyumbang idea kepada pembentukan dasar.

Track II merujuk kepada dialog tidak rasmi yang melibatkan ahli akademik, penyelidik, badan pemikir, bekas pegawai, pemimpin perniagaan dan kumpulan masyarakat sivil, yang bertujuan untuk menjana idea, membina kepercayaan dan meneroka penyelesaian yang mungkin tidak dapat diteruskan secara terbuka oleh perunding rasmi.

"Dalam era yang ditandai dengan jangkaan yang tinggi dan ketidakpastian yang meningkat, tetapi juga cabaran yang berterusan, ASEAN mesti memperkukuh komitmen dan keupayaannya untuk penglibatan serta menjunjung peranan utamanya dalam hal ehwal serantau dan diplomasi," katanya dalam ucapan perasmiannya di ATTS ke-2 di Ibu Pejabat ASEAN, semalam.

Sidang kemuncak itu, yang dianjurkan oleh Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura bagi pihak Rangkaian Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa ASEAN (ASEAN-ISIS Network), menyusuli edisi sulungnya tahun lalu dan telah menarik penyertaan yang lebih luas, dengan sokongan daripada rakan kongsi termasuk Australia, Jerman dan Switzerland.

Ia menumpukan kepada tema seperti kepercayaan digital, kemampanan, integrasi ekonomi, perpaduan ASEAN dan keselamatan maritim.

Gesaan Kao hadir ketika ASEAN meneruskan inisiatif penting, termasuk Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 yang menetapkan visi "ASEAN yang Berdaya Tahan, Inovatif, Dinamik, dan Berorientasikan Rakyat," dan ketika Timor-Leste bersiap sedia untuk menyertai sebagai ahli ke-11 blok itu.

Integrasi ekonomi juga menjadi agenda utama, dengan ASEAN dijangka menerima pakai Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0, memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital yang pertama, mengemas kini Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN, dan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang pertama di Kuala Lumpur bulan ini.

-- BERNAMA




#Setiausaha Agung ASEAN #Kao Kim Hourn #Asia Tenggara #blok ASEAN