INTERNATIONAL

Ketua bantuan PBB desak masyarakat antarabangsa ambil tindakan terhadap Gaza

Bernama 14/05/2025 | 06:15 MYT
Tiada bantuan yang memasuki Gaza selama lebih 10 minggu dan kesemua 2.1 juta penduduk di wilayah itu kini berdepan kebuluran. -Gambar fail/AP
NEW YORK: Penyelaras bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Tom Fletcher, pada Selasa menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan segera terhadap situasi di Gaza, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ringkasan AI
  • Penyelaras bantuan PBB, Tom Fletcher, menyeru tindakan segera terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, di mana tiada bantuan masuk selama lebih 10 minggu dan 2.1 juta penduduk kini berdepan kebuluran.
  • Fletcher menegaskan PBB bersedia menyalurkan bantuan dengan mekanisme ketat untuk memastikan ia sampai kepada orang awam, namun Israel terus menghalang akses dan meletakkan matlamat ketenteraan melebihi nyawa awam.
  • Beliau menggesa Israel hentikan sekatan dan serangan terhadap orang awam, serta mendesak Hamas dan kumpulan Palestin lain membebaskan tebusan dan menghentikan tindakan yang membahayakan orang awam.

Tiada bantuan yang memasuki Gaza selama lebih 10 minggu dan kesemua 2.1 juta penduduk di wilayah itu kini berdepan kebuluran, kata Fletcher dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB.
Beliau meminta masyarakat antarabangsa merenung kembali apa yang akan mereka sampaikan kepada generasi masa depan tentang tindakan yang diambil "untuk menghentikan kekejaman abad ke-21 yang kita saksikan setiap hari di Gaza."
"Adakah anda akan bertindak tegas untuk mencegah genosid dan memastikan penghormatan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa? Atau adakah anda akan berkata, 'kami telah lakukan segala yang mampu'?"
Fletcher berkata PBB dan rakan-rakannya kini "terdesak" untuk menyambung semula penghantaran bantuan ke seluruh Gaza, namun Israel terus menghalang akses.
"Kami boleh menyelamatkan ratusan ribu mangsa yang masih hidup. Kami mempunyai mekanisme ketat untuk memastikan bantuan kami sampai kepada orang awam, dan bukan kepada Hamas," katanya.
"Tetapi Israel menafikan kami akses, meletakkan matlamat untuk mengosongkan Gaza mengatasi nyawa orang awam."
Fletcher menyeru Israel menghentikan pembunuhan dan mencederakan orang awam serta menamatkan sekatan kemanusiaan. Beliau juga menggesa Hamas dan kumpulan Palestin lain membebaskan tebusan dan menghentikan tindakan yang meletakkan orang awam dalam risiko semasa operasi ketenteraan.
"Jika kita gagal bertindak sepenuhnya, generasi akan datang pasti akan mempersoalkan kita. Dan kita patut bimbang akan penghakiman mereka," katanya.
-- BERNAMA
#Gaza #Tom Fletcher #Penyelaras bantuan PBB #kebuluran