[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Ketua bantuan PBB: Masa semakin suntuk untuk cegah kebuluran di Gaza

Bernama 08/09/2025 | 07:30 MYT
Sejak pengisytiharan itu, 109 orang - termasuk 23 kanak-kanak - telah meninggal dunia akibat kebuluran, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. - Foto AP
ISTANBUL: Ketua kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad memberi amaran bahawa masa semakin suntuk untuk menghalang kebuluran daripada merebak di luar utara Gaza, dengan hanya beberapa minggu lagi untuk mengelakkan kebuluran besar-besaran di kawasan tengah dan selatan wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • PBB memberi amaran kebuluran besar-besaran mungkin merebak ke kawasan tengah dan selatan Gaza seperti Deir al-Balah dan Khan Younis menjelang akhir September jika tiada tindakan segera.
  • Pemindahan paksa dan serangan ketenteraan Israel dikritik kerana berlaku ketika kebuluran telah disahkan, menyebabkan kematian termasuk 23 kanak-kanak akibat kekurangan makanan.
  • PBB menyeru gencatan senjata dan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan, serta perlindungan terhadap orang awam dan pematuhan undang-undang antarabangsa.


"Terdapat ruang waktu yang sempit - sehingga akhir September - untuk menghalang kebuluran daripada merebak ke Deir al-Balah dan Khan Younis. Ruang itu kini semakin tertutup," kata Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan merangkap Penyelaras Bantuan Kecemasan, Tom Fletcher.

Fletcher mengecam arahan pemindahan paksa terbaru Israel di Bandaraya Gaza, sambil menyatakan ia dibuat "dua minggu selepas kebuluran disahkan di Gaza, dan di tengah-tengah serangan ketenteraan besar-besaran."

Beliau menambah: "Kematian, kemusnahan, kebuluran dan pemindahan paksa orang awam Palestin adalah hasil daripada pilihan yang mencabar undang-undang antarabangsa dan mengabaikan masyarakat antarabangsa."

Menyeru tindakan segera diambil, Fletcher menggesa: "Benarkan bantuan kemanusiaan masuk - tanpa halangan dan pada skala yang mampu kami salurkan. Lindungi orang awam. Laksanakan langkah-langkah sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Bebaskan tawanan. Bebaskan rakyat Palestin yang ditahan sewenang-wenangnya. Gencatan senjata."

Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) telah mengesahkan kebuluran di utara Gaza dan menjangkakan ia akan merebak ke Deir al-Balah dan Khan Younis menjelang akhir September.

Sejak pengisytiharan itu, 109 orang - termasuk 23 kanak-kanak - telah meninggal dunia akibat kebuluran, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

-- BERNAMA



#Ketua bantuan PBB #masa makin suntuk #kebuluran di Gaza #Tom Fletcher #Israel