KETUA eksekutif kumpulan pelobi senjata Amerika Syarikat (AS), National Rifle Association (NRA) telah mengumumkan peletakan jawatan beliau, kata organisasi itu.

Wayne LaPierre, 74, akan berundur mulai 31 Januari ini selepas menerajui NRA selama lebih tiga dekad.

Peletakan jawatan itu berlaku beberapa hari sebelum perbicaraan sivil New York, di mana beliau dan beberapa pemimpin kanan lain dituduh menyalahgunakan dana NRA.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, LaPierre berkata, beliau kekal sebagai juara NRA.

"Saya telah menjadi ahli pembawa kad organisasi ini sepanjang hayat dewasa saya dan saya tidak akan berhenti menyokong NRA dan perjuangannya untuk mempertahankan kebebasan Pindaan Kedua,” kata beliau.

LaPierre memberikan sebab kesihatan sebagai alasan di sebalik keputusannya meletakkan jawatan, kata NRA pula dalam kenyataan yang diedarkan.

Peletakan jawatannya dibuat ketika perbicaraan sivil New York akan dimulakan pada hari Isnin, di mana beliau bersama tiga lagi pemimpin semasa dan bekas pemimpin NRA didakwa melanggar undang-undang bukan keuntungan negeri itu.

Peguam Negara New York, Letitia James, yang membawa tuntutan mahkamah pada 2020, juga menuduh pemimpin-pemimpin berkenaan menyalahguna dana berjuta-juta dolar untuk membiyai perbelanjaan peribadi yang mewah.

Defendan lain yang dinamakan dalam kes tersebut ialah Wilson Phillips, Joshua Powell dan John Frazer, namun, James menyenaraikan LaPierre sebagai "suspek utama."

Salah satu contoh salah laku yang didakwa terhadap LaPierre ialah mengadakan lawatan Bahamas lebih daripada lapan kali dengan menaiki pesawat persendirian menggunakan dana yang dimaksudkan untuk NRA, dengan kos sebanyak A$500,000 (RM2.3 juta).

Dakwaan itu juga dilaporkan bertujuan untuk menggulingkan LaPierre daripada jawatan tertinggi yang disandangnya.

Sementara itu, James dalam kenyataan berkata, peletakan jawatan oleh LaPierre merupakan "kemenangan penting" dalam kes itu, namun begitu, pejabatnya tetap memberi penekanan pada "akauntabiliti yang berterusan."
"Kes akan diteruskan (di sebalik peletakan jawatan LaPierre dan kami berharap untuk membuktikan fakta di mahkamah," katanya.

Perbicaraan dijangka berlangsung selama enam minggu, dan akan diputuskan oleh enam juri.

Dalam perkembangan sama, NRA yang mengumumkan peletakan jawatan Lapierre menegaskan, organisasi itu akan meneruskan pembelaan terhadap tuntutan mahkamah itu.

Organisasi itu sebelum ini menyifatkan ia sebagai "serangan yang tidak berasas dan terancang."

NRA merupakan sebuah pertubuhan yang mendokong hak pemilikan senjata paling berkuasa di AS.
NRA juga terkenal sebagai pelobi utama terhadap semua bentuk kawalan senjata.

Organisasi itu juga telah berulang kali berhujah bahawa pemilikan lebih banyak senjata menjadikan sesebuah negara lebih selamat.

Bagaimanapun, ini bergantung pada dan dengan kukuh mempertahankan tafsiran yang dipertikaikan mengenai Pindaan Kedua kepada Perlembagaan AS yang dihujahkan memberi hak kepada rakyat AS untuk memiliki senjata.

Ia juga secara langsung membiayai ahli politik dan penggubal undang-undang AS yang menyokong matlamatnya.

Keahlian NRA, bagaimanapun, telah merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

CBS melaporkan pada tahun 2022 hasil kumpulan lobi - sebahagian besarnya datang daripada yuran ahli - telah menyusut sebanyak 23 peratus dari 2016 hingga 2020.

Pada 2018, NRA berkata, ia mempunyai enam juta ahli, namun, tiga tahun kemudian, Lapierre menjelaskan, keahliannya telah menurun kepada di bawah 4.9 juta.

LaPierre merupakan salah seorang pelobi hak senjata api yang paling terkenal di AS, telah mengetuai organisasi itu sejak 1991.

Dalam satu kenyataan, Presiden NRA, Charles Cotton berkata, LaPierre "telah melakukan banyak perkara untuk melindungi kebebasan Pindaan Kedua seperti sesiapa sahaja."

Cotton menggelar LaPierre sebagai "tokoh yang tinggi dalam memperjuangkan kebebasan berperlembagaan" yang membantu membina organisasi.

Susulan peletakan jawatan LaPierre, Ketua Operasi Am NRA, Andrew Arulanandam akan mengambil alih sebagai ketua eksekutif sementara dan naib presiden eksekutif bermula bulan depan. - Agensi