DUNIA

Ketua Hak Asasi Manusia PBB gesa dunia bangkit tangani situasi dahsyat di Gaza

Bernama 11/06/2025 | 16:10 MYT
TURK: Sesiapa yang mahu menekankan situasi ini, itu sangat penting, kerana kita perlu menarik perhatian supaya semua sedar dan bertindak. - Gambar fail/AP
GENEVA: Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu menggambarkan situasi kemanusiaan di Gaza sebagai "dahsyat", lantas menggesa dunia memberi perhatian dan bertindak segera susulan keadaan yang semakin buruk dan kebimbangan antarabangsa terhadap kawalan Israel terhadap penghantaran bantuan, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, menyifatkan situasi kemanusiaan di Gaza sebagai sangat dahsyat dan mendesak tindakan segera.
  • PBB menghadapi halangan besar menghantar bantuan akibat mekanisme baru Israel yang mengecualikan agensi PBB dan tidak memenuhi piawaian kemanusiaan.
  • Israel merampas kapal bantuan Madleen dan menahan anak kapalnya, manakala penduduk Gaza terus berisiko kebuluran akibat sekatan bantuan.


"Sesiapa yang mahu menekankan situasi ini, itu sangat penting, kerana kita perlu menarik perhatian supaya semua sedar dan bertindak," kata Volker Turk di Geneva sebagai respons kepada pertanyaan Anadolu mengenai rampasan kapal bantuan Madleen oleh Israel minggu ini yang menghalangnya sampai ke Gaza.

"Jelas sekali situasi kemanusiaan di Gaza melampaui apa jua gambaran yang boleh anda bayangkan," katanya. "Sebahagian besar penduduk tidak menerima bantuan kemanusiaan sejak berminggu-minggu. Keadaan sudah sangat dahsyat dengan kanak-kanak kurus kering, tiada lagi akses kepada ubat-ubatan dan tiada bekalan makanan."

Ketua hak asasi manusia itu berkata PBB mempunyai pelan operasi yang jelas untuk menghantar bantuan ke Gaza, tetapi kerja mereka semakin terhalang. "Berminggu-minggu, PBB sudah menjelaskan. Kami ada pelan. Kami pernah beroperasi di sana sebelum ini. Malangnya, kami kini sangat terbatas dalam tindakan kami sekarang," katanya.

Beliau mengkritik mekanisme bantuan baharu ditubuhkan Israel yang mengecualikan agensi PBB dan beberapa kumpulan kemanusiaan, kerana gagal memenuhi piawaian asas kemanusiaan.

"Ia tidak memenuhi prinsip asas tindakan kemanusiaan iaitu tidak memihak, neutral dan berdikari, dan hasilnya, kami tidak boleh terlibat," tegasnya.

Mekanisme itu juga dikritik selepas ratusan rakyat Palestin terbunuh atau cedera ketika cuba mendapatkan bantuan, dengan Gaza mendakwa skim itu membantu Israel menyasarkan orang awam di sebalik pemberian bantuan.

Pasukan Israel merampas kapal berdaftar di Britain, Madleen di perairan antarabangsa awal Isnin dan menahan 12 anak kapalnya.

Madleen belayar pada 6 Jun dari Sicily, Itali menuju Gaza untuk memecah sekatan laut Israel terhadap wilayah itu, di mana hampir 55,000 orang terbunuh dalam serangan ganas sejak Oktober 2023.

Pihak berkuasa Israel mendeportasi empat aktivis pada Selasa, termasuk aktivis iklim Sweden Greta Thunberg ke negara asal mereka, manakala lapan lagi masih dalam tahanan.

Agensi bantuan antarabangsa memberi amaran risiko kebuluran dalam kalangan 2.4 juta penduduk Gaza akibat tindakan Israel menutup pintu sempadan Gaza kepada bantuan kemanusiaan sejak awal Mac.

-- BERNAMA


#Ketua Hak Asasi Manusia PBB #Volker Turk #serangan Israel #situasi dahsyat di Gaza