DUNIA

Ketua Hak Asasi Manusia PBB kutuk serangan "menjijikkan" peneroka haram Israel di Tebing Barat

Bernama 14/11/2025 | 15:38 MYT
Keganasan semakin meningkat ketika pihak berkuasa Israel memperluas tindakan perobohan rumah, rampasan harta, tangkapan dan sekatan pergerakan. - Reuters
GENEVA: Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) pada Jumaat mengecam peningkatan mendadak serangan peneroka haram Israel dan tindakan tentera Israel di wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat, sambil memberi amaran bahawa sesetengah tindakan itu mungkin dianggap sebagai jenayah perang, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Gambar kumpulan peneroka haram Israel bertopeng melakukan serangan dan pembakaran di Tebing Barat yang diduduki minggu ini adalah menjijikkan dan mencerminkan corak keganasan semakin meningkat terhadap rakyat Palestin," kata jurucakap OHCHR Thameen Al-Kheetan pada taklimat mingguan di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

Beliau berkata, beberapa individu cedera dalam kejadian itu, termasuk serangan terhadap sebuah kilang tenusu serta pembakaran lori penghantaran dan rumah.

Pegawai PBB berkata, keganasan semakin meningkat ketika pihak berkuasa Israel memperluas tindakan perobohan rumah, rampasan harta, tangkapan serta sekatan pergerakan.

Al-Kheetan turut mengkritik "pembinaan penempatan dan pos baharu yang berterusan serta pengusiran dan pemindahan paksa ribuan rakyat Palestin oleh pendatang haram Israel dan tentera."

Beliau memberi amaran bahawa "memindahkan penduduk Palestin secara tetap di dalam wilayah diduduki merupakan pemindahan haram, yang merupakan jenayah perang," sambil menambah bahawa memindahkan orang awam Israel ke wilayah diduduki "juga merupakan jenayah perang."

PBB menegaskan Israel yang mendakwa kedaulatannya ke atas Tebing Barat melanggar undang-undang antarabangsa dan menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

"Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengesahkannya," kata Al-Kheetan.

Lebih 260 serangan oleh peneroka haram Israel direkodkan pada Oktober, jumlah bulanan tertinggi sejak 2006.

Menurut angka PBB, sekurang-kurangnya 1,017 rakyat Palestin, termasuk 221 kanak-kanak maut dalam serangan pasukan keselamatan Israel dan peneroka haram di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, sejak Oktober 2023.

Mangsa terbaharu termasuk Aysam Jihad Labib Naser, 13, yang meninggal dunia selepas terhidu gas pemedih mata bulan lepas, serta dua remaja lelaki berusia 16 tahun yang ditembak mati pada 6 Nov.

-- BERNAMA
#peneroka haram #Israel #Palestin #Tebing Barat #PBB #hak asasi manusia