DUNIA

Ketua Hezbollah nyatakan sokongan terhadap Iran

Agensi 19/06/2025 | 23:10 MYT
Qassem mengecam cadangan Presiden Trump yang didakwa mempertimbangkan untuk membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, sebagai satu bentuk "pencerobohan" terhadap seluruh rakyat di rantau berkenaan.
BEIRUT: Setiausaha Agung Hezbollah, Naim Qassem akhirnya bersuara dengan mengeluarkan kenyataan panjang lebar yang menzahirkan sokongan penuh terhadap Iran susulan serangan Israel dan ancaman daripada Amerika Syarikat (AS).
Dalam kenyataan itu, Qassem mengecam cadangan Presiden AS, Donald Trump yang didakwa mempertimbangkan untuk membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, sebagai satu bentuk "pencerobohan" terhadap seluruh rakyat di rantau berkenaan.
Meskipun mempunyai hubungan erat dengan Tehran, Hezbollah setakat ini kekal tidak campur tangan secara langsung dalam konflik yang tercetus selepas Israel melancarkan serangan terhadap Iran.
Kumpulan pejuang itu masih belum mengaktifkan medan perang di sempadan Lubnan, dipercayai akibat kelemahan berikutan peperangan besar dengan Israel tahun lalu.
“Kami, di dalam Hezbollah dan Barisan Penentangan Islam, tidak berkecuali antara hak Iran yang sah dan berdaulat dengan kejahatan serta pencerobohan Amerika bersama ketumbuhan barah bernama Israel,” kata Qassem.
Menerusi kenyataan itu, Hezbollah turut memberi bayangan bahawa mereka bersedia untuk bertindak balas jika keadaan memerlukan.
“Kami akan melakukan apa yang kami anggap sesuai bagi menghadapi pencerobohan keji Amerika-Israel ini,” katanya lagi.
#Konflik Iran-Israel #Hezbollah sokong Iran #Israel serang Iran #Naim Qassem #Ayatollah Ali Khamenei