DUNIA

Ketua Hezbollah seru Arab Saudi bersatu hadapi pencerobohan Israel

Agensi 19/09/2025 | 23:40 MYT
Qassem menegaskan, hubungan baharu bersama Riyadh seharusnya berasaskan tiga prinsip utama: dialog untuk menyelesaikan perselisihan, pengiktirafan bahawa Israel adalah musuh serta membekukan segala pertikaian lalu.
BEIRUT: Setiausaha Agung Hezbollah, Sheikh Naim Qassem menggesa Arab Saudi membuka “lembaran baharu” dalam hubungan dengan pasukan pejuang Lubnan itu serta membentuk satu pasukan pertahanan bersama menentang Israel.

Gesaan itu dibuat pada Jumaat susulan serangan terbaharu Israel ke atas selatan Lubnan.

Qassem menegaskan, hubungan baharu bersama Riyadh seharusnya berasaskan tiga prinsip utama: dialog untuk menyelesaikan perselisihan, pengiktirafan bahawa Israel adalah musuh – bukan “perjuangan penentangan”, serta membekukan segala pertikaian lalu.

“Senjata penentangan hanya ditujukan kepada Israel, bukan Lubnan, bukan Arab Saudi, dan bukan mana-mana pihak lain,” katanya.

Qassem dalam masa sama memberi amaran, tekanan terhadap Hezbollah hanya akan menguntungkan Israel. Malah, jika penentangan dihapuskan, katanya, “giliran negara lain pula akan tiba.”

Hubungan Riyadh dan Hezbollah tegang sejak bertahun lamanya, sebahagiannya berpunca daripada persaingan berpanjangan antara Arab Saudi dan Iran, penyokong utama Hezbollah.

Pada 2016, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diketuai Riyadh mengisytiharkan Hezbollah sebagai organisasi pengganas kerana penglibatan kumpulan itu dalam perang saudara Syria di pihak Bashar al-Assad serta sokongan mereka terhadap kumpulan Houthi di Yaman.

‘Genosid jadi jalan Keluar’

Qassem menyifatkan Israel sebagai pos kolonial “yang pada mulanya disokong Britain, kini disokong Amerika Syarikat” dan mendakwa rejim itu melakukan jenayah dengan sokongan penuh Washington tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa.

Beliau mendakwa perang lembut, sekatan ekonomi dan Perjanjian Abraham gagal memberi kemenangan pantas kepada AS dan Israel. “Akhirnya, bagi mereka, genosid menjadi jalan keluar,” katanya.

Qassem turut menyifatkan serangan Israel ke atas Qatar pada 9 September lalu sebagai titik perubahan, dengan menegaskan “apa yang berlaku selepas serangan itu tidak lagi sama dengan sebelumnya.”

Beliau menolak sebarang cadangan damai yang ditaja AS: “Apabila Amerika secara terbuka mengakui mereka bertindak demi kepentingan Israel, bagaimana kita boleh mempercayai sebarang cadangan?”

AS sebelum ini menekan Lubnan supaya melucutkan senjata Hezbollah berdasarkan syarat gencatan senjata yang dimeterai pada November 2024.

Namun, Qassem menegaskan, kumpulannya tetap komited untuk menentang pendudukan Israel, “dari posisi kekuatan,” dengan tujuan mengusir tentera Israel dan membebaskan tanah.

Seruan Qassem itu hadir hanya dua hari selepas Riyadh dan Pakistan – sebuah negara kuasa nuklear – menandatangani pakatan pertahanan bersama susulan serangan Israel ke atas Qatar.

Dua terbunuh dalam serangan Israel

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Lubnan pada Jumaat memaklumkan, dua orang terbunuh manakala 11 cedera dalam dua serangan berasingan tentera Israel di selatan Lubnan.

Salah satu serangan menyasarkan sebuah kereta di luar hospital awam di Tebnin, manakala serangan lain mengenai sebuah kenderaan di Ansar.

Tentera Israel mendakwa serangan itu membunuh seorang komander Hezbollah, Ammar Hayel Qutaybani, selain seorang anggota pasukan elit Radwan di Tebnin. Israel turut menyasarkan sebuah “kapal yang digunakan Hezbollah untuk mengumpul maklumat risikan” di Naqura.

Serangan itu berlaku sehari selepas Israel membedil beberapa pekan di selatan Lubnan dan mengarahkan penduduk berpindah.

Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, mengecam tindakan Israel sebagai “intimidasi dan pencerobohan” yang melanggar gencatan senjata tahun lalu serta mekanisme pemantauan antarabangsa.

Walaupun gencatan telah dimeterai, Israel terus melancarkan serangan hampir setiap hari ke atas selatan Lubnan.

Mengikut perjanjian, Hezbollah sepatutnya melucutkan senjata dan berundur ke utara Sungai Litani, manakala Israel pula perlu berundur sepenuhnya dari wilayah Lubnan.

Namun sehingga kini, Israel masih menduduki sekurang-kurangnya lima lokasi di selatan negara itu. - Agensi


#Hezbollah #Arab Saudi #Pencerobohan Israel #Sheikh Naim Qassem