ISTANBUL: Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva menggesa kerajaan pada Rabu supaya segera memperkukuh kedudukan kewangan awam, sambil memberi amaran bahawa daya tahan ekonomi global terhadap kejutan berulang kini semakin menghampiri hadnya, lapor Anadolu Ajansi.
Ketika berucap pada sidang media sempena mesyuarat tahunan IMF-Bank Dunia di Bangkok, Georgieva berkata penampan tenaga dan fiskal semakin susut manakala inflasi berterusan serta kenaikan kadar faedah menambah tekanan terhadap kos khidmat hutang.
Pertumbuhan global diunjurkan sekitar 3.1 peratus pada 2026, tidak berubah daripada unjuran April tetapi lebih rendah berbanding 3.4 peratus pada tahun lepas, katanya.
Tinjauan itu mencerminkan pengaruh faktor yang saling bertentangan, dengan perang di Asia Barat menjejaskan bekalan tenaga manakala permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) menyokong aktiviti ekonomi.
Ekonomi yang mempunyai integrasi dalam rantaian bekalan AI termasuk Thailand, Malaysia, Korea Selatan dan Singapura, secara amnya menunjukkan prestasi lebih baik, begitu juga negara pengeksport tenaga yang tidak terjejas oleh peperangan.
Negara berpendapatan rendah dan negara rapuh, khususnya pengimport tenaga yang tidak mendapat manfaat daripada ledakan teknologi, berdepan tekanan paling besar.
Georgieva berkata hasil bon kerajaan di negara maju meningkat ke paras tertinggi dalam beberapa dekad, mencerminkan inflasi, permintaan pelaburan, jangkaan pertumbuhan lebih kukuh yang dipacu AI serta kelemahan fiskal.
Beliau berkata peningkatan hasil penanda aras itu menaikkan kos pinjaman bagi pasaran sedang pesat membangun, walaupun premium risiko mereka kekal stabil, sambil memberi amaran bahawa kos pembiayaan yang tinggi berkemungkinan berterusan.
Kos khidmat hutang di negara berpendapatan rendah meningkat daripada enam peratus hasil kerajaan sedekad lalu kepada 14 peratus, katanya.
Georgieva menggesa kerajaan meningkatkan hasil, merasionalisasikan perbelanjaan dan menambah baik pengurusan kewangan awam. Bantuan bagi mengimbangi kenaikan kos makanan dan tenaga pula perlu bersifat sementara serta disasarkan kepada golongan rentan, di samping mengekalkan isyarat harga pasaran.
Bank pusat perlu terus memberikan tumpuan kepada kestabilan harga, dengan alasan paling kukuh untuk mengetatkan dasar monetari di negara yang kadar inflasinya melebihi sasaran dan kegiatan ekonominya kekal kukuh.
Menyentuh ketidakseimbangan global, beliau menggesa China meningkatkan penggunaan domestik, Amerika Syarikat (AS) menambah simpanan dan mengurangkan defisit manakala Eropah memperkukuh pelaburan.
Pertumbuhan ekonomi AS sahaja tidak akan menghasilkan pelarasan fiskal yang diperlukan dalam tempoh cukup singkat, sekali gus menjadikan langkah tambahan perlu dilaksanakan, katanya.
Georgieva turut memberi amaran bahawa pulangan AI dalam jangka pendek yang mengecewakan boleh mencetuskan pembetulan pasaran yang tidak terkawal manakala serangan siber menggunakan AI pula menimbulkan risiko terhadap kestabilan kewangan.
-- BERNAMA-ANADOLU