DUNIA
Ketua Kuil Shaolin disiasat atas dakwaan jenayah, hubungan sulit, salah guna dana

Shi pernah digelar “Sami CEO” kerana kecenderungannya mengkomersialkan imej dan pengaruh Shaolin melalui pelbagai cabang industri, termasuk penerbitan, filem, perubatan dan pelancongan. - Gambar fail AP
ZHENGZHOU: Ketua Kuil Shaolin yang terkenal di seluruh dunia, Shi Yongxin kini disiasat atas beberapa kesalahan jenayah termasuk penyelewengan dana projek dan aset kuil, menurut kenyataan rasmi pihak pengurusan kuil itu pada Ahad.
Shi, 60, yang mengetuai institusi Buddha berusia lebih 1,500 tahun itu sejak 1999, turut didakwa melanggar prinsip ajaran Buddha secara serius serta menjalin hubungan sulit dengan beberapa wanita dalam tempoh yang panjang, termasuk mempunyai anak luar nikah.
“Kuil akan mendedahkan maklumat lanjut kepada umum secara berperingkat,” menurut kenyataan itu lagi.
Kuil Shaolin yang terletak di wilayah Henan, tengah China, bukan sahaja dianggap sebagai tempat kelahiran ajaran Zen atau Chan Buddha, malah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan tempat asal seni mempertahankan diri Shaolin kung fu.Shi, yang turut memiliki ijazah sarjana pentadbiran perniagaan (MBA), pernah digelar “Sami CEO” kerana kecenderungannya mengkomersialkan imej dan pengaruh Shaolin melalui pelbagai cabang industri, termasuk penerbitan, filem, perubatan dan pelancongan.
Pada 2006, beliau dikritik kerana menerima kereta mewah daripada kerajaan tempatan sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam industri pelancongan.
Pada 2015, Shi sekali lagi menjadi tumpuan selepas dikaitkan dengan projek pembinaan kompleks hotel bernilai AS$297 juta di Australia yang merangkumi kuil, akademi kung fu dan padang golf.
Tahun sama, seorang bekas anak muridnya mendakwa Shi menyalahgunakan dana dan mempunyai beberapa anak luar nikah.
Namun, pihak berkuasa agama wilayah Henan menggugurkan siasatan dua tahun kemudian atas alasan kekurangan bukti.
Menurut laporan akhbar Economic Observer, Shi dibawa oleh pihak polis dari bandar Xinxiang pada Jumaat lalu untuk siasatan lanjut.
Sejak Sabtu, spekulasi mengenai keberadaan beliau tersebar luas di media sosial China, terutamanya selepas beliau tidak lagi aktif di akaun Weibo rasminya sejak Khamis lalu, walaupun sebelum ini aktif memuat naik secara konsisten sejak 2018.
Kali terakhir beliau muncul di khalayak ialah pada 7 Julai lalu semasa menghadiri mesyuarat sami, menurut laman rasmi Kuil Shaolin.
Sepanjang hampir tiga dekad menerajui institusi itu, Shi dikritik oleh komuniti Buddha dan seni mempertahankan diri kerana menjadikan Kuil Shaolin sebagai entiti perniagaan moden, termasuk membuka lebih 50 pusat kebudayaan Shaolin di luar negara.
Laman data perniagaan Qichacha mendedahkan beliau kini dikaitkan dengan lapan entiti perniagaan – tiga masih aktif, manakala lima lagi telah dibubarkan. ,- Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami