ANKARA: Eric Schroeder, ketua kumpulan jenayah terancang yang dikehendaki dalam senarai notis merah Interpol yang dikeluarkan oleh Jerman, ditangkap di Istanbul, menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye pada Rabu.

Schroeder diburu kerana menubuhkan organisasi dengan niat untuk melakukan jenayah, pengubahan wang haram daripada aset jenayah dan pengedaran dadah, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Ali Yerlikaya di X.

"Dia dikehendaki oleh pihak berkuasa Jerman kerana menjalankan perdagangan dadah di Hamburg, mengetuai organisasi melakukan jenayah dan pengubahan wang haram daripada aset jenayah. Dia dituduh terlibat dalam pengedaran dadah dalam 24 kejadian, melibatkan 784 kilogram ganja dan 154 kilogram kokain," kata Yerlikaya.

"Dia juga terlibat dalam rompakan kontena yang mengandungi 1.1 tan kokain, bersama-sama anggota sindiket jenayah bersenjata Hells Angels. Beliau dipercayai mengurus hal ehwal kewangan pengedar dadah antarabangsa bernama Joseph Johannes Leijdekkers di Eropah dan mengubah wang haramnya," kata beliau.

Schroeder ditahan dalam operasi Cage-25 Turkiye, menurut menteri dalam negeri, sambil berjanji bahawa Turkiye tidak akan membenarkan kumpulan jenayah terancang antarabangsa dan pengedar dadah yang mengganggu ketenteraman awam beroperasi dengan bebas, dan mereka akan ditangkap satu demi satu.

Polis turut merampas wang, jam tangan berjenama, telefon bimbit, kad SIM, pasport dan kad pengenalan atas pelbagai nama, kata Yerlikaya.

-- BERNAMA