DUNIA

Ketua panel Gaza sifatkan kehilangan nyawa "menyayat hati", gesa patuhi gencatan senjata

Bernama 01/02/2026 | 22:30 MYT
Ali Shaath berkata, soal kehilangan nyawa di Gaza dalam beberapa hari kebelakangan ini amat menyayat hati. - Gambar Reuters
BANDAR GAZA: Ketua Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) pada Ahad menyifatkan, kematian orang awam Palestin dalam serangan Israel di wilayah itu sebagai "menyayat hati" dan menuntut pematuhan terhadap perjanjian gencatan senjata 10 Okt, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Kehilangan nyawa di Gaza dalam beberapa hari kebelakangan ini amat menyayat hati - takziah kepada keluarga yang sedang berduka," kata Ali Shaath dalam hantaran di platform media sosial X.

Sekurang-kurangnya 37 rakyat Palestin terbunuh dalam siri serangan Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Sabtu, yang melanggar perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Okt 2025.

"Kami menyeru semua pihak supaya mematuhi gencatan senjata," kata Shaath. "NCAG komited bersama rakan-rakan untuk mencegah insiden lanjut dan melindungi orang awam."

Beliau tidak menyatakan bila jawatankuasa itu akan mula beroperasi dari dalam Semenanjung Gaza.

"Langkah ke hadapan mesti berteraskan kawalan diri, tanggungjawab dan penghormatan terhadap nyawa orang awam," katanya.

NCAG ialah badan bukan politik yang ditugaskan mengurus hal ehwal perkhidmatan awam harian. Ia dianggotai 11 tokoh kebangsaan Palestin selain Shaath. Jawatankuasa itu memulakan tugasnya di Mesir pada pertengahan Januari tetapi belum lagi beroperasi dari dalam Gaza.

Walaupun terdapat gencatan senjata, Israel terus melancarkan serangan, mengorbankan 524 orang dan mencederakan 1,360 yang lain sejak 10 Okt, menurut pejabat media Gaza.

Perjanjian itu menamatkan perang Israel selama dua tahun yang mengorbankan hampir 71,800 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 171,400 yang lain.

Serangan itu telah memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di Gaza, dengan anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meletakkan kos pembinaan semula sekitar US$70 bilion.

-- BERNAMA
#serangan Israel #Gaza #genosid #Palestin #ali shaath #gencatan senjata