DUNIA

Ketua PBB amat khuatir tindakan Israel sasar NGO

Bernama 03/01/2026 | 02:00 MYT
Guterres menekankan bahawa di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Israel mempunyai kewajipan untuk membenarkan serta mempermudah laluan pantas tanpa sekatan bagi bantuan kemanusiaan kepada semua orang awam yang memerlukan. - Gambar fail
WASHINGTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres meluahkan perasaan khuatir terhadap pengumuman pihak berkuasa Israel untuk menggantung operasi beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di wilayah Palestin yang diduduki, kata jurucakapnya pada Jumaat.

Menurut Anadolu Ajansi (AA), Guterres menggesa agar langkah itu dibatalkan segera, sambil menegaskan bahawa NGO antarabangsa adalah nadi kepada kerja-kerja kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa dan penggantungan tersebut berisiko menggagalkan kemajuan kecil yang dicapai sepanjang tempoh gencatan senjata, jelas jurucakap ketua PBB, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Langkah terbaru ini menyusul selepas pelbagai sekatan Israel sebelum ini yang telah melambatkan kemasukan bekalan asas ke Gaza, termasuk makanan, bantuan perubatan, barangan kebersihan, dan keperluan perlindungan.

Tindakan ini akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang meruncing dalam kalangan rakyat Palestin, tambahnya.

Guterres menekankan bahawa di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Israel mempunyai kewajipan untuk membenarkan serta mempermudah laluan pantas tanpa sekatan bagi bantuan kemanusiaan kepada semua orang awam yang memerlukan.

Beliau menegaskan, semula bahawa semua rakan kongsi kemanusiaan mestilah dibenarkan beroperasi dengan selamat dan selaras dengan prinsip-prinsip kemanusiaan, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA
#Setiausaha Agung PBB #Antonio Guterres #Israel sasar NGO #sekatan Israel