NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Jumaat memberi amaran terhadap "krisis kesihatan mental global," ketika melancarkan laporan mengenai kesihatan mental, lapor Xinhua.

"Kita sedang berdepan krisis kesihatan mental peringkat global," kata pegawai tertinggi PBB itu menerusi videonya ketika melancarkan Laporan Kesihatan Mental Dunia 2022: Mengubah Kesihatan Mental Untuk Semua.

Guterres berkata hampir satu bilion penduduk dunia, termasuk berjuta kanak-kanak dan golongan muda, "mengalami gangguan kesihatan mental," dan kebanyakan mereka tidak mempunyai akses kepada rawatan.

"Perkhidmatan kesihatan mungkin tidak tersedia atau tidak mampu dibayar. Stigma juga menghalang orang ramai mendapatkan bantuan," katanya.

Guterres berkata, orang yang mengalami gangguan kesihatan mental berdepan risiko penderaan fizikal dan emosi, penafian pendidikan dan pekerjaan, serta pelanggaran hak asasi manusia yang lain.

Kadar kemurungan dan keresahan sahaja mengakibatkan perbelanjaan ekonomi global mencecah US$1 trilion setahun.

Guterres berkata walaupun pandemik COVID-19 meningkatkan masalah kesihatan mental, ia juga telah membawa kepada pemahaman yang jauh lebih besar mengenai kepentingan - dan kerapuhan - menjamin kesihatan mental yang baik.

"Malangnya, di kebanyakan negara, kesihatan mental kekal sebagai bidang kesihatan yang paling diabaikan," kata setiausaha agung itu.

Mengulas mengenai laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Guterres berkata laporan itu sebagai gambaran agar semua negara meningkatkan sistem kesihatan mental mereka.

"Ia memberi cadangan terhadap penambahbaikan yang diperlukan dan bagaimana ia boleh dicapai, bermula pada zaman kanak-kanak dan hingga semua peringkat kehidupan.

"Ia merungkai cara mengurangkan risiko, membina daya tahan dan merungkai halangan yang menyekat mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental daripada mengambil bahagian sepenuhnya dalam masyarakat.

"Saya mengesyorkannya kepada kerajaan, dan pihak berkepentingan mengenai kesihatan mental, di mana-mana sahaja," kata setiausaha agung itu.

-- BERNAMA