DUNIA
Ketua PBB desak pembiayaan, sokongan politik untuk UNRWA

Guterres berkata, generasi pelarian Palestin bergantung kepada UNRWA untuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan asas lain. - Gambar AP
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Khamis menggesa pembiayaan dan sokongan politik bagi Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), lapor Xinhua.
"Saya merayu kepada anda hari ini untuk menyediakan pembiayaan dan sokongan politik yang diperlukan UNRWA bagi membantu membina keamanan dan kestabilan - untuk rakyat Palestin dan rantau ini," kata Guterres pada mesyuarat peringkat menteri yang diadakan bagi menyokong UNRWA.
Dalam ucapannya, Guterres berkata, generasi pelarian Palestin bergantung kepada UNRWA untuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan asas lain.
Sebelum Oktober 2023, agensi itu menyediakan pendidikan untuk setengah juta kanak-kanak lelaki dan perempuan di seluruh rantau ini.Pada masa kini, UNRWA menyalurkan bantuan makanan kecemasan serta tunai kepada 2.6 juta orang, manakala klinik utamanya mengendalikan 10.5 juta rawatan setahun.
Bagaimanapun, UNRWA terpaksa beroperasi di bawah tekanan yang melampau dan semakin meningkat, dengan kakitangannya terbunuh di Gaza, premisnya musnah, selain berdepan kekurangan bajet.
Ketua PBB itu menggesa negara anggota PBB melakukan segala yang boleh untuk menyokong UNRWA dengan berdiri teguh menunjukkan solidariti, memberikan sokongan politik, menangkis penyelewengan yang mengancam satu-satunya talian hayat yang masih tinggal buat ramai pelarian Palestin, demi memastikan agensi itu mempunyai sumber untuk melaksanakan mandatnya.
Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini pula memberitahu, masyarakat antarabangsa kini berdepan akibat serius ekoran ketiadaan tindakan dan sikap lepas tangan: kebuluran, bayangan pendudukan ketenteraan di Gaza, tindakan pelampau pendatang haram yang semakin berani serta pengilhakan beransur-ansur di Tebing Barat yang diduduki, selain sistem multilateralisme yang kian terancam.
Beliau memberi amaran bahawa tanpa kemasukan besar dana baharu, penyampaian perkhidmatan penting kepada jutaan pelarian Palestin di seluruh rantau ini akan terjejas sebelum akhir tahun.
"Sejarah akan selamanya menyoal generasi terdahulu mengapa mereka gagal menghalang pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di bawah pengawasan mereka," kata Lazzarini sambil menggesa negara anggota PBB menuntut gencatan senjata segera di Gaza dan pembebasan tawanan tanpa syarat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami