DUNIA
Ketua PBB desak siasatan protes berdarah di Nepal

Penunjuk perasaan membakar kediaman beberapa pemimpin utama termasuk Pejabat Presiden, ketika protes ganas berterusan walaupun kerajaan mengumumkan penghapusan larangan media sosial. - Gambar/ Reuters
ISTANBUL: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Selasa menggesa siasatan menyeluruh dan menyeru agar semua pihak bertenang susulan protes berdarah di Nepal yang meragut 20 nyawa serta memaksa Perdana Menteri KP Sharma Oli meletak jawatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa siasatan menyeluruh dan menyeru semua pihak agar bertenang susulan protes berdarah di Nepal yang menyebabkan 20 kematian dan peletakan jawatan Perdana Menteri KP Sharma Oli.
- Protes tercetus selepas kerajaan mengharamkan media sosial dan mengarahkan syarikat multinasional membuka pejabat di Nepal, mencetuskan kemarahan rakyat sehingga bangunan awam, parlimen dan kediaman pemimpin dibakar.
- Tentera Nepal mengambil alih kawalan dan Presiden Ramchandra Paudel memulakan proses membentuk kerajaan baharu, sementara hampir 350 orang cedera dalam insiden tersebut.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa supaya "mematuhi undang-undang hak asasi manusia," dengan menekankan bahawa protes "mesti dijalankan secara aman dengan menghormati nyawa dan harta benda."
Tentera Nepal mengambil alih kawalan pada Selasa malam selepas dua hari protes berdarah.
Presiden Ramchandra Paudel sedang bersiap untuk memulakan proses membentuk kerajaan baharu selepas menerima peletakan jawatan Oli susulan protes yang bermula sejak Isnin dan turut mencederakan hampir 350 orang.
Nepal berdepan situasi dramatik sejak Isnin apabila Oli mengharamkan penggunaan media sosial dan mengarahkan syarikat multinasional membuka pejabat di negara Himalaya yang dikelilingi daratan itu.
Tindakan tersebut mencetuskan protes besar-besaran di ibu negara Kathmandu, dengan penunjuk perasaan menyerbu bangunan awam dan pejabat parti politik serta memasuki bangunan parlimen sebelum membakarnya.
Penunjuk perasaan turut membakar kediaman beberapa pemimpin utama termasuk Pejabat Presiden, ketika protes ganas berterusan walaupun kerajaan mengumumkan penghapusan larangan media sosial.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami