Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Ketua PBB gesa rundingan gencatan senjata segera di Sudan

Bernama 28/10/2025 | 14:45 MYT
Guterres "amat khuatir" terhadap aliran senjata dan pejuang yang berterusan ke Sudan, yang menurutnya memburukkan lagi keadaan yang sudah amat terdesak. - Gambar fail/Reuters/Pierre Albouy
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa rundingan segera bagi menamatkan pertempuran di Sudan selepas pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) menawan bandar El Fasher pada Isnin, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Dalam satu kenyataan, jurucakap Guterres, Stephane Dujarric menggesa Angkatan Tentera Sudan dan RSF supaya segera menghubungi utusan khasnya ke Sudan, Ramtane Lamamra dan mengambil langkah pantas dan nyata ke arah penyelesaian melalui rundingan.

Beliau berkata ketua PBB itu "amat bimbang" dengan peningkatan pertempuran baru-baru ini dan mengecam pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang dilaporkan.

Dujarric menambah bahawa Guterres "amat khuatir" terhadap aliran senjata dan pejuang yang berterusan ke Sudan, yang menurutnya memburukkan lagi keadaan yang sudah amat terdesak.

RSF pada lewat Isnin waktu tempatan menawan El Fasher, bandar utama terakhir di wilayah barat Darfur yang masih berada di bawah kawalan tentera.

Tentera memaklumkan bahawa mereka telah berundur dari bandar itu yang didiami sehingga 300,000 penduduk, menurut anggaran PBB.

Beliau berkata bantuan kemanusiaan mesti dibenarkan sampai kepada orang awam dengan segera dan tanpa halangan.

El Fasher dan kawasan sekitarnya telah menjadi "pusat penderitaan" selama lebih 18 bulan, dengan kebuluran, penyakit dan keganasan meragut nyawa setiap hari, katanya.

-- BERNAMA



#bantuan kemanusiaan #gencatan senjata #PBB #RSF