NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Selasa berkata beliau akan merayu lebih banyak sokongan daripada masyarakat antarabangsa untuk membantu Pakistan yang dilanda banjir buruk, lapor Xinhua.

"Esok saya akan berlepas ke Pakistan sebagai tanda bersolidariti dengan rakyatnya dan merayu sokongan masyarakat antarabangsa, selepas kita menyaksikan negara ini dilanda banjir buruk," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PBB di New York sebelum menghadiri mesyuarat mengenai situasi terkini di loji kuasa nuklear Zaporizhzhia di Ukraine.

Beliau berkata isu perubahan iklim juga perlu diberi perhatian ketika tumpuan lebih menjurus kepada konflik di Ukraine.

"Orang ramai cenderung lupa bahawa terdapat satu lagi perang - perang yang kita lancarkan terhadap alam semula jadi, dan alam semula jadi kini melancarkan serangan balas, dan perubahan iklim menyebabkan kemusnahan planet kita.

"Pakistan, Chad, dan Afrika, mengalami kebuluran akibat kemarau. Semua hal ini memberi ancaman besar kepada kita semua," katanya.

Sementara itu jurucakap Guterres, Stephane Dujarric berkata PBB dan rakan kongsinya telah menghantar bantuan makanan atau kewangan kepada sekurang-kurangnya 336,000 orang yang terjejas akibat banjir di wilayah Balochistan, Pakistan.

"Pengagihan sedang dilakukan untuk 117,000 orang di wilayah Sindh. Selain itu, kami telah menyediakan 32 tan metrik bekalan kecemasan untuk menyokong keperluan kanak-kanak dan wanita, termasuk ubat-ubatan dan bekalan perubatan," katanya.

Sembilan penerbangan dari Dubai yang membawa barangan keperluan akan dihantar ke kawasan yang paling terjejas di wilayah Sindh.

Beliau berkata tiga penerbangan pertama telah tiba semalam dan penerbangan selebihnya dijadualkan berlepas dalam tempoh beberapa hari lagi.

Menurut kerajaan Pakistan, lebih 1,300 orang terkorban manakala lebih 12,700 cedera akibat banjir.

Bencana itu turut merosakkan jalan raya dan jambatan manakala lebih 1.1 juta kediaman rosak serta kira-kira 560,000 rumah musnah.

Setakat ini, lebih 630,000 orang tinggal di kem sementara di seluruh Pakistan, kebanyakannya di wilayah Sindh.

-- BERNAMA