Ketua pejabat, pegawai dilarang anjur majlis buka puasa sepanjang Ramadan - Presiden Jokowi

Agensi
Mac 26, 2023 12:28 MYT
Semua perancangan majlis berbuka puasa bersama pada bulan Ramadan tahun ini terpaksa dimansuhkan.- Facebook @Presiden Joko Widodo
JAKARTA: Presiden Joko Widodo atau Jokowi memerintahkan ketua dan pegawai jabatan Kerajaan atau Aparatur Sipil Negara (ASN) tidak mengadakan sebarang majlis berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Memetik CNN Indonesia, arahan berikut dikemukakan dalam surat arahan penyelenggaraan buka puasa bersama yang disahkan Setiausaha Kabinet, Pramono Anung.
Dalam surat berkenaan, terdapat tiga arahan daripada Jokowi berkaitan aktiviti berbuka puasa bersama yang sebelum ini dilakukan di pejabat kerajaan melibatkan ASN atau penjawat awam.
Tegas Jokowi, pengendalian COVID-19 kini dalam peralihan daripada pandemik kepada endemik, menyebabkan langkah berjaga-jaga masih diperlukan.
Sehubungan itu semua perancangan majlis berbuka puasa bersama pada bulan Ramadan tahun ini terpaksa dimansuhkan.
Ketua Pusat Penerangan Kementerian Dalam Negeri, Benni Irwan berkata, pihaknya diminta segera mengedarkan surat arahan tersebut kepada gabenor, bupati dan datuk bandar untuk dikuatkuasakan segera.
“Surat tersebut juga meminta menteri, ketua institusi, ketua lembaga, dan ketua daerah mematuhi arahan Presiden dan menyampaikannya kepada seluruh pegawai dan kakitangan masing-masing.
“Kami sudah menyiapkan surat pekeliling yang diedar ke setiap wilayah dan daerah di seluruh Indonesia bermula kelmarin,” jelasnya.
Arahan tersebut bagaimanapun mengundang perdebatan umum, hingga ada yang mempertikaikan rasional di sebaliknya, kerana menurut mereka majlis berbuka puasa boleh mengeratkan silaturahim dan tidak ada beza dengan sebarang acara pertemuan atu perkumpulan dalam masyarakat.
#Joko Widodo #COVID-19 #Ramadan #buka puasa