Skip to main content

Dunia

Ketua pendakwa ICC, Karim Khan bebas daripada tuduhan salah laku seksual

At  @AntalyaDF , #ICC Prosecutor  @KarimKhanQC  met w/ H.E. M Touhid Hossain, Adviser for the Ministry of Foreign Affairs of Interim Government of #Bangladesh.  Prosecutor underlined thanks for strong support of 🇧🇩 in common work towards justice for #Rohingya victims.
Pembersihan nama Khan oleh panel hakim merupakan perkembangan besar dalam kes yang mengakibatkan ketidakpastian panjang di ICC sejak akhir tahun lalu. - Foto X/@IntlCrimCourt

THE HAGUE: Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan, telah dibersihkan daripada semua tuduhan salah laku seksual oleh panel tiga hakim selepas siasatan dalaman yang dijalankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Middle East Eye dan disahkan melalui laporan Al Jazeera.

Menurut empat sumber diplomatik yang membaca atau dimaklumkan mengenai laporan sulit itu, panel hakim berkenaan sebulat suara menyimpulkan bahawa dapatan oleh United Nations Office of Internal Oversight Services (OIOS) “tidak membuktikan sebarang salah laku atau pelanggaran tugas di bawah kerangka yang berkaitan.”

Advertisement

Laporan sulit itu dihantar kepada Bureau of the Assembly of States Parties (ASP) pada 9 Mac untuk tindakan lanjut.

Di bawah peraturan ICC, sekiranya tiada salah laku dibuktikan, penyiasatan akan ditutup.

Siasatan OIOS telah diperintahkan oleh ketua ASP pada November 2024 selepas seorang anggota pejabat Khan tampil mengemukakan tuduhan salah laku seksual.

Pada Ogos tahun lalu, seorang wanita kedua mendakwa bahawa Khan telah menyalahgunakan kuasa ketika beliau bekerja di bawah pendakwa tersebut, menggambarkan perlakuannya sebagai “serangan berterusan” ketika bercakap kepada The Guardian.

Khan menafikan semua tuduhan berkenaan dan mengambil cuti secara sukarela daripada tugasnya pada Mei sambil menunggu keputusan siasatan.

Sejak itu, timbalan-timbalan pendakwa bertanggungjawab mengendalikan pejabatnya.

ASP telah bermesyuarat pada Isnin lalu untuk membincangkan laporan berkenaan dan mempunyai 30 hari untuk membuat penilaian awal.

Khan juga akan diberi tempoh 30 hari untuk memberi maklum balas sebelum keputusan akhir dibuat.

Khan enggan mengulas mengenai laporan tersebut, menurut sumber media.

Tuduhan salah laku ini timbul ketika pejabat Khan sedang menjalankan beberapa penyiasatan penting.

Ini termasuk:

1. Dakwaan jenayah perang oleh pegawai Israel di Gaza

Khan telah memohon waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, berhubung “tanggungjawab jenayah” dalam dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

2. Dakwaan jenayah perang oleh Rusia di Ukraine

Khan turut memohon waran tangkap terhadap Presiden Rusia Vladimir Putin dan beberapa pegawai Rusia berhubung dakwaan pemindahan secara tidak sah kanak-kanak Ukraine ketika perang berterusan.

Pembersihan nama Khan oleh panel hakim merupakan perkembangan besar dalam kes yang mengakibatkan ketidakpastian panjang di ICC sejak akhir tahun lalu.

Sumber diplomatik menyebut bahawa siasatan tersebut meninggalkan ICC dalam “keadaan tergantung” kerana kedudukan Khan yang tidak menentu dan kebocoran tuduhan kepada media.

Jika ASP secara rasmi menerima penemuan itu, siasatan akan ditutup dan Khan dijangka kembali memimpin pejabat pendakwa ICC secara penuh.

 

Must Watch Video