INTERNATIONAL

Ketua Pertahanan NATO tegaskan semula sokongan kepada Ukraine menjelang sidang Hague

Bernama 15/05/2025 | 03:20 MYT
Anggota NATO sekali lagi menegaskan sokongan padu mereka kepada Ukraine, sambil menekankan keperluan mendesak untuk bantuan berterusan. - Foto fail/REUTERS
GENEVA: Pemimpin tertinggi tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Rabu mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ukraine serta komitmen untuk memperkukuh pendirian pencegahan dan pertahanan pakatan itu semasa Sesi Ketua Pertahanan Jawatankuasa Tentera NATO ke-193 yang diadakan di Brussels.

Mesyuarat tersebut turut menjadi persiapan utama menjelang Sidang Kemuncak NATO yang dijadual berlangsung Jun ini di The Hague, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pengerusi Jawatankuasa Tentera, Laksamana Giuseppe Cavo Dragone membuka sesi dengan menekankan perpaduan dalam kalangan pasukan bersekutu yang disifatkannya sebagai "tonggak pertahanan kolektif NATO," menurut kenyataan NATO.

Beliau berkata, pertemuan itu mencerminkan perpaduan berterusan pakatan tersebut dan keperluan untuk "nasihat ketenteraan yang jelas dan tepat pada masanya kepada kepimpinan politik, berteraskan ketegasan dan kesepakatan bersama."

Ketua pertahanan turut menerima taklimat daripada Panglima Tertinggi Bersekutu NATO di Eropah (SACEUR) berhubung operasi semasa dan strategi pencegahan.

Ini diikuti dengan pembentangan oleh Panglima Tertinggi Transformasi NATO, Laksamana Pierre Vandier mengenai perancangan pertahanan NATO, inovasi dan teknologi baharu yang sedang muncul.

Dalam sesi penutup, Ketua Pertahanan Ukraine, Jeneral Oleksandr Syrskyi menyertai secara maya dari Kyiv untuk memberikan perkembangan terkini mengenai situasi di medan perang.

Anggota NATO sekali lagi menegaskan sokongan padu mereka kepada Ukraine, sambil menekankan keperluan mendesak untuk bantuan berterusan dan menyatakan bahawa "kini - lebih daripada sebelumnya -adalah penting untuk NATO terus membekalkan apa yang diperlukan oleh Ukraine demi mempertahankan diri."

-- BERNAMA






#NATO #Ukraine #Sidang Kemuncak NATO #Giuseppe Cavo Dragone