Skip to main content

Dunia

Ketua Tentera Pakistan lawat Tehran dalam usaha hidupkan semula rundingan AS–Iran

In this photo released by Telegram channel of the Iranian Foreign Minister Abbas Araghchi, Foreign Minister Abbas Araghchi, right, welcomes Pakistan's Army Chief Field Marshal Gen. Asim Munir upon his arrival in Tehran, Iran, Wednesday, April 15, 2026. (Telegram channel of the the Iranian Foreign Minister Abbas Araghchi, via AP)
Araghchi (kanan) menyambut ketibaan Ketua Tentera Pakistan, Field Marshal Jeneral Asim Munir, setibanya beliau di Tehran, Iran. - Foto AP

TEHRAN: Ketua Tentera Pakistan, Jeneral Asim Munir, mengadakan lawatan rasmi ke Tehran ketika usaha sedang dijalankan bagi menghidupkan semula rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS), sekali gus menonjolkan peranan Pakistan sebagai pengantara serantau yang penting.

Lawatan tersebut menyaksikan pertemuan antara Jeneral Asim Munir dengan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, yang menyampaikan penghargaan Tehran terhadap peranan Pakistan dalam memudah cara dialog diplomatik di peringkat antarabangsa.

Advertisement

Dalam satu hantaran di platform X, Araghchi berkata beliau telah menzahirkan “penghargaan atas kesudian Pakistan menjadi tuan rumah dialog”, sambil menegaskan bahawa langkah itu mencerminkan hubungan dua hala yang “mendalam dan kukuh” antara kedua-dua negara.

“Komitmen kami untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau ini kekal teguh, dan dikongsi bersama,” kata Araghchi dalam hantaran berkenaan.

Beliau turut memuat naik sebuah video yang menunjukkan beliau memeluk Jeneral Munir sejurus ketibaan ketua tentera Pakistan itu di lapangan terbang Tehran, satu isyarat simbolik kemesraan diplomatik antara kedua-dua negara.

Pakistan dan Iran masing-masing mengekalkan kepentingan strategik dalam kestabilan Asia Selatan dan Asia Barat, khususnya dalam konteks ketegangan serantau yang berlarutan serta kebimbangan keselamatan rentas sempadan.

Islamabad sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering menampilkan diri sebagai rakan dialog yang berkecuali dalam isu-isu geopolitik, termasuk berkaitan hubungan antara Tehran dan Washington.

Lawatan Jeneral Munir ke Iran berlaku ketika terdapat usaha diplomatik yang diperbaharui bagi membuka semula saluran rundingan antara AS dan Iran, khususnya berhubung isu nuklear dan sekatan ekonomi.

Walaupun Pakistan tidak mengesahkan secara rasmi bentuk penglibatannya, kenyataan Araghchi memberi bayangan bahawa Islamabad memainkan peranan sebagai fasilitator perbincangan.

Pemerhati antarabangsa melihat pertemuan ini sebagai isyarat sokongan serantau terhadap penyelesaian diplomatik, ketika tekanan terhadap keselamatan Asia Barat terus meningkat.

Hubungan rapat antara Pakistan dan Iran juga dianggap penting dalam memastikan keseimbangan geopolitik serta kestabilan ekonomi dan keselamatan di rantau berkenaan.

Lawatan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Pakistan sebagai pemain diplomatik utama di antara kuasa-kuasa serantau dan global, khususnya dalam usaha merapatkan jurang dialog antara pihak-pihak yang berselisih.
 

Must Watch Video