DUNIA

Ketua tentera Turkiye dan Pakistan bincang situasi keselamatan serantau

Bernama 31/01/2026 | 23:15 MYT
Selçuk Bayraktaroglu melawat kedutaan di Islamabad ketika mengadakan lawatan ke Pakistan pada 29-30 Dis. - Foto X Kedutaan Turkiye di Islamabad
NEW DELHI: Ketua tentera Turkiye dan Pakistan membincangkan situasi keselamatan serantau serta kerjasama ketenteraan dua hala.

Ketua Staf Am Turkiye Jeneral Selcuk Bayraktaroglu bertemu Menteri Pertahanan Pakistan Khawaja Asif dan Ketua Angkatan Pertahanan Field Marshal Asim Munir semasa lawatan beliau ke Pakistan pada 29-30 Dis, menurut Kedutaan Turkiye di Islamabad menerusi hantaran di X pada Sabtu.

"Pertemuan tersebut menekankan komitmen bersama Turkiye dan Pakistan untuk memajukan lagi kerjasama pertahanan dan ketenteraan yang erat. Persekitaran keselamatan serantau yang sedang berkembang turut menjadi agenda perbincangan," katanya.

Ketegangan yang berterusan antara Iran dan Amerika Syarikat telah meningkatkan kebimbangan keselamatan dalam kalangan negara jiran Iran.

Dalam pertemuannya dengan Menteri Pertahanan Pakistan, Bayraktaroglu menyatakan komitmen Turkiye terhadap keamanan dan kestabilan yang mampan di rantau itu, lapor media Pakistan.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengukuhkan lagi rakan kerjasama pertahanan antara Pakistan dan Turkiye.

-- BERNAMA

#Pakistan #Turkiye #keselamatan serantau #kerjasama ketenteraan