[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Ketua UNAMA desak akses pendidikan sama rata untuk wanita di Afghanistan

Bernama 09/09/2025 | 06:50 MYT
Menafikan hak pendidikan kepada gadis dikhuatiri menjadikan Afghanistan semakin terasing dan tidak bersedia menghadapi realiti global masa kini. - Gambar/ AP
MOSCOW: Ketua Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) Roza Otunbayeva menggesa kerajaan Afghanistan memastikan akses pendidikan untuk gadis, sambil memberi amaran bahawa sekatan berterusan akan menjejaskan hak asasi manusia, pembangunan serta masa depan negara itu, lapor Sputnik.

Dalam ucapannya pada satu acara di Kabul sempena Hari Literasi Antarabangsa, Otunbayeva menegaskan bahawa menafikan hak pendidikan kepada gadis bukan sahaja melemahkan hak asasi manusia dan pembangunan, malah menjadikan Afghanistan semakin terasing dan tidak bersedia menghadapi realiti global masa kini, menurut laporan agensi berita Khaama Press pada Isnin.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), pihak berkuasa Taliban menafikan akses pendidikan kepada 2.2 juta gadis Afghanistan setakat ini, termasuk 400,000 orang pada tahun persekolahan baharu yang bermula 21 Mac lalu.

Jika sekatan itu tidak ditarik balik sehingga 2030, ia dijangka menjejaskan lebih 4 juta gadis Afghanistan, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA





#Afghanistan #wanita #hak pendidikan #UNAMA