ISTANBUL: Kemudahan kesihatan dan kakitangan perubatan kini terjejas susulan konflik yang sedang berlaku di Iran, menurut amaran Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selepas beberapa hospital dan pusat kecemasan dilaporkan mengalami kerosakan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pada Selasa bahawa letupan berhampiran Hospital Motahari di ibu negara Iran, Tehran, merosakkan sebahagian kemudahan itu dan memaksa pesakit serta petugas kesihatan dipindahkan pada 1 Mac lepas.
Advertisement
“Kemudahan kesihatan, kakitangan dan pesakit kini terjejas di tengah-tengah konflik yang sedang berlaku di Iran,” kata Tedros menerusi platform media sosial X.
Beliau menambah bahawa dua pusat kecemasan perubatan di bandar Sarab dan Hamedan turut mengalami kerosakan, dengan sekurang-kurangnya dua kakitangan perubatan dilaporkan cedera.
Tedros menegaskan bahawa hospital dan klinik amat penting terutamanya semasa krisis dan mesti dilindungi daripada kesan konflik bersenjata.
“Semasa krisis, hospital dan klinik amat diperlukan lebih daripada sebelumnya. Oleh itu, amat penting untuk memastikan ia dilindungi pada setiap masa,” katanya.
Ketua WHO itu turut menggesa semua pihak yang terlibat dalam pertempuran supaya melindungi petugas kesihatan serta kemudahan perubatan.
“Saya sekali lagi menggesa semua pihak supaya mengelakkan kemudahan kesihatan, petugas dan pesakit daripada menjadi mangsa konflik,” katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU